Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad meminta kerajaan mempertimbangkan permohonan golongan yang memerlukan untuk mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Dr Dzulkefly berkata, permohonan pengeluaran itu bagaimanapun perlu bersasar dengan syarat yang sangat ketat membabitkan isi rumah yang benar-benar memerlukan dan berdepan krisis kewangan, meskipun daripada golongan M40.
“Kalau benar-benar ketua isi rumah memerlukan dan ada simpanan adalah wajar kerana duit itu adalah duit mereka.
“Pada saat mereka memerlukan, kita (perlu) izinkan tetapi perlu bersasar dengan syarat yang sangat ketat,” katanya pada sidang media selepas perasmian program Hijau Lestari sempena penanaman 25,223 pokok siantan di Forest Park, Bandar Hillpark, Puncak Alam, di sini, hari ini.
Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Rahilah Rahmat.
Dr Dzulkefly berkata, cara itu bagaimanapun tidak menyelesaikan isu berkenaan kerana kerajaan perlu mengambil langkah yang lebih mampan dan ke depan daripada sudut kaji, simpan dan peluang.
“Saya rasa ada ihsan dan belasnya rahmah Kerajaan Madani untuk mengizinkan ini dan tidak boleh jadikan sesuatu yang bersifat ‘cross the board’.
“Saya tidak menyokong apa pun langkah untuk mengorbankan simpanan usia tua.
“Kalau itu menyelamatkan atau lebih daripada itu adalah penting bagi mereka mengatasi masalah krisis kewangan semasa,” katanya.
Dalam Belanjawan 2023 dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, kerajaan bersetuju menambah caruman sebanyak RM500 ke dalam simpanan Akaun 1 KWSP bagi pencarum berusia 40 hingga 54 tahun yang memiliki baki simpanan kurang RM10,000 dalam akaun berkenaan.
Bagi tujuan itu, beliau berkata, kerajaan memperuntukkan hampir RM1 bilion bagi meningkatkan simpanan persaraan hampir dua juta pencarum KWSP yang menghampiri usia persaraan.
Sumber: Harian Metro