Umum

Panggilan Scam, Polis nasihat jangan jawab panggilan telefon dari NSRC

Gambar Hiasan

Orang ramai dinasihatkan untuk tidak menjawab sebarang panggilan telefon daripada Pusat Respon Scam Kebangsaan (NSRC), yang merupakan kaedah terbaharu scammer untuk menjerat individu ke dalam jenayah scam.

Menurut Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Polis Diraja Malaysia (PDRM), ASP Rahmat Fitri Abdullah, NSRC, diwujudkan untuk menerima panggilan daripada pengadu yang dikhuatiri terjerumus dalam jenayah scam dan tidak akan sesekali melakukan panggilan telefon kepada sesiapa.

PDRM, SKMM, Bank Negara dan ahli jawatankuasa terlibat telah mewujudkan kemudahan kepada seluruh masyarakat, di luar sana, bagi mana-mana individu yang pernah menjadi mangsa scam untuk menghubungi NSRC.

“Sekarang ini scammer telah menggunakan nama NSRC ini untuk scam mangsa. Jadi jika anda menerima sebarang panggilan telefon daripada NSRC dan kata dia mewakili NSRC, itu adalah scam,” katanya.

“NSRC hanya berfungsi untuk anda menghubungi mereka dan bukan mereka menghubungi anda. Petanda yang paling mudah untuk anda tahu itu adalah scam, sangat mudah kerana NSRC ini, nombor taliannya hanya tiga digit sahaja, iaitu 997.

“Dan jika yang hubungi anda itu berkata mereka mewakil NSRC keluar nombor lain, selain daripada tiga digit tersebut, itu adalah panggilan dari scammer,” tambahnya.

Beliau memohon orang ramai agar sentiasa peka dan menghebahkan fungsi sebenar NSRC ini kepada orang lain bagi mengelakkan risiko menjadi mangsa jenayah scam.

PALING POPULAR

To Top