Umum

Petisyen mencabar Enakmen Syariah, 9 hakim diketuai Ketua Hakim Negara akan membuat keputusan

Mahkamah Persekutuan akan membuat keputusan berkaitan petisyen untuk mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, dalam usaha mengisytiharkan 18 peruntukan kesalahan dalam enakmen itu, terbatal pada tarikh yang ditetapkan kemudian.

Perkara demikian dinyatakan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Tuan Maimun Tuan Mat selepas mendengar hujahan daripada peguam-peguam pemerhati dan sahabat mahkamah atau Amicus Curiae.

Dalam prosiding ini, Sisters In Islam (SIS) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) hadir selaku sahabat mahkamah atau Amicus Curiae.

Keputusan berkaitan petisyen itu akan dibuat panel 9 hakim diketuai Tun Tengku Maimun bersama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd Diah dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli.

Selain itu ialah Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri P Nalini, Datuk Mary Lim Thiam Suan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais.

Peguam pemerhati pula dibarisi peguam-peguam bagi pihak Badan Peguam Malaysia, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak (MAIPk), Majlis Agama Islan Negeri Sembilan (MAINS) dan Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM).

Sebelum ini, peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman memfailkan petisyan terhadap Kerajaan Negeri Kelantan.

Nik Elin Zurina, 62, dan Tengku Yasmin Natasha, 26, memohon Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 18 Seksyen Kesalahan Jenayah Syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 terbatal dan tidak sah.

Peruntukan itu termasuk Seksyen 13 (menjual atau memberi anak kepada orang bukan Islam atau orang Islam yang keji akhlaknya), Seksyen 14 (liwat), Seksyen 16 (seks dengan mayat), Seksyen 17 (seks dengan bukan manusia) dan Seksyen 31 (gangguan seksual).

Mereka juga memohon mahkamah mengisytiharkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan tidak mempunyai kuasa membuat enakmen berkaitan kesalahan jenayah syariah yang terpakai kepada orang Islam sahaja.

PALING POPULAR

To Top