Umum

Paras air sungai di Kedah tunjuk trend meningkat

Penduduk yang tinggal di sepanjang persisir sungai di Alor Setar diingatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga berikutan paras air Sungai Anak Bukit terus merekodkan bacaan melebihi paras bahaya dan Sungai Kedah telah melebihi paras amaran.

Ketua Bahagian Sekretariat, Jawatankuasa Pengurusan Bencana, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, Sungai Anak Bukit di Taman Aman merekodkan bacaan aras air 2.88 meter (m) melebihi tahap bahaya manakala Sungai Kedah di Jambatan Lebuhraya merekodkan bacaan air 1.90 meter melebihi tahap amaran setakat jam 9 pagi tadi.

“Manakala enam sungai di negeri ini merekodkan melebihi paras waspada iaitu Sungai Sari di Kilang Gula Padang Terap iaitu (27.07 m), Sungai Laka di Kampung Padang Pasir di Kubang Pasu (21.16 m) dan Sungai Janing di Padang Terap (27.04 m).

“Selain itu Sungai Pendang di Pekan Pendang merekodkan bacaan paras air (2.28 meter), Sungai Kerian di Rumah Pam Bandar Baharu (1.16 m) dan Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR merekodkan bacaan (1.48 m) melebihi tahap waspada,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Suhaimi berkata, trend air menaik di semua sungai di Kedah ketika ini.

Katanya, pemantauan berkala daripada anggota APM sedang dilakukan dan sekiranya berlaku limpahan air tindakan segera untuk memindahkan penduduk akan dilakukan.

Sumber: Astro Awani

PALING POPULAR

To Top