Umum

Paras tiga sungai di Kuantan lebihi paras bahaya

Paras air di tiga sungai di daerah ini mencatat bacaan melebihi paras bahaya ekoran hujan lebat berterusan sejak awal pagi pada Isnin.

Sungai terlibat adalah Sungai Lembing, Sungai Kuantan dan Sungai Belat.

Berdasarkan data aras air sungai melalui laman sesawang rasmi Public Infobanjir, sehingga jam 10 pagi, Stesen Lembing mencatatkan bacaan semasa 36.47 meter berbanding paras bahaya 36 meter.

Paras air Sungai Kuantan di Stesen Bukit Kenau merekodkan bacaan 21.59 meter berbanding paras bahaya 21.50 meter manakala paras Sungai Belat di Stesen Sri Damai pada bacaan 5.50 meter (paras bahaya 5 meter).

Sementara itu paras air Sungai Keratong, Rompin di Stesen Jambatan Bahau melepasi paras amaran dengan bacaan 22.73 meter (paras amaran 22 meter).

Dua lagi sungai berada pada paras waspada iaitu Sungai Lepar di Stesen Jambatan Gelugor dan Sungai Kuantan di Stesen Pasir Kemudi.

Susulan hujan lebat yang berlaku di daerah ini, kawasan Pekan Sungai Lembing dinaiki air namun tiada sebarang pemindahan mangsa dilaporkan sehingga jam 10 pagi.

Agensi berkaitan telah diletakkan dalam mod bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Beberapa laluan turut dilimpahi air termasuk Jalan Padang Lalang-Tanjung Lumpur-Kampung Baharu yang dinaiki air sedalam 0.15 meter melibatkan laluan sepanjang 150 meter namun dibuka kepada semua jenis kenderaan.

Berdasarkan Info JKR daerah Kuantan, Jalan Kuantan-Maran berhampiran Bukit Gambang Resort City dilimpahi air sedalam 0.14 hingga 0.24 meter sepanjang 100 meter dan masih boleh dilalui semua kenderaan.

Turut dilimpahi air Jalan Pintasan Kuantan berhampiran Kolej Widad dinaiki air antara 0.14 hingga 0.27 meter melibatkan laluan sepanjang 100 meter.

Laluan perlahan di lokasi tersebut ditutup kepada kenderaan ringan.

Jalan Sungai Pancing berhampiran Jambatan Sungai Pandan yang dilimpahi air sedalam 0.26 meter sepanjang 70 meter masih dibuka kepada semua jenis kenderaan. – Sinar Harian

PALING POPULAR

To Top