Umum

PARLIMEN KE-14 BUBAR

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini (10 Oktober 2022) mengumumkan pembubaran Parlimen ke-14, bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan dalam tempoh 60 hari.

Dalam pengumuman khas yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara, Perdana Menteri berkata pembubaran Parlimen telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Semalam, Ismail Sabri menghadap Yang di-Pertuan Agong memohon perkenan membubarkan Parlimen.

Majlis menghadap itu dibuat sehari sebelum Yang di-Pertuan Agong bersama Raja Permaisuri Agong berkenan berangkat ke London bagi mengadakan lawatan khas bermula 10 hingga 16 Oktober ini.

Istana Negara dalam satu kenyataan mengesahkan lawatan Al-Sultan Abdullah tersebut dan dijadualkan akan bertemu dengan Raja Britain,  King Charles III, di Istana Buckingham, London pada 12 Oktober 2022.

Menurut Artikel 55(4) Perlembagaan Persekutuan, PRU wajib dijalankan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran Parlimen dan sidang Dewan Rakyat yang seterusnya wajib dilaksanakan dalam tempoh 120 hari daripada tarikh pembubaran Parlimen.

Berdasarkan kepada pengalaman dua pilihan raya yang lalu, PRU akan berlangsung dalam tempoh sebulan selepas Parlimen dibubarkan.

Ini bermakna, pilihan raya akan dilangsungkan ketika negara berdepan ancaman bencana musim tengkujuh dengan hujan lebat di seluruh negara dan banjir, sebagaimana diramal Jabatan Meteorologi Malaysia.

Jika enam negeri yang sekarang ini diperintah PAS dan Pakatan Harapan (PH) kekal dengan keputusan mereka untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak dengan Parlimen, bermakna hanya tiga negeri sahaja – Perlis, Perak dan Pahang – akan mengadakan PRU-15 serentak.

PH dan PAS – yang juga anggota komponen Perikatan Nasional – telah menyatakan bahawa tiga negeri yang masing-masing dikuasai mereka – Kedah, Terengganu, Kelantan, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor – tidak akan membubarkan DUN masing-masing serentak dengan PRU-15.

UMNO dan BN tumbang setelah ramai pemimpinnya terlibat dalam jenayah, termasuk rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram, ketika memerintah negara, terutama melibatkan isu 1Malaysia Development Berhad yang dikaitkan dengan bekas presiden parti Datuk Seri Najib Razak.

PRU-14 sebelum ini diadakan pada 9 Mei 2018 yang menyaksikan buat pertama kali dalam sejarah negara, kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah sejak lebih 60 tahun lalu, tumbang, digantikan Pakatan Harapan.

Parlimen Malaysia mengandungi 222 ahli yang dipilih setiap lima tahun sekali menerusi PRU.

Untuk rekod, sehingga 19 Julai lalu, pemilih berdaftar terkini yang diwartakan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) berdasarkan Daftar Pemilih Tambahan Mei 2022 adalah berjumlah 21,136,625 orang.

Daripada jumlah itu, lebih 1,141,749 orang iaitu 5.4 peratus adalah pemilih berumur 18 tahun hingga 20 tahun, manakala baki 19,971,485 orang atau 94.6 peratus ialah pemilih berumur 21 tahun dan ke atas.

Susulan penguatkuasaan had umur pemilih daripada 21 tahun kepada 18 tahun pada 15 Disember 2021, menyaksikan pertambahan ketara pemilih seramai 5.8 juta orang yang mana 1.2 juta orang adalah terdiri daripada golongan anak muda berusia 18 hingga 20 tahun.

Sumber: Agenda daily

PALING POPULAR

To Top