Umum

Parti politik mengelirukan pengundi, hilang sudah moral dan nilai perjuangan

Semasa berkempen bercakap lain tetapi selepas menang lain pula dibuatnya, itu yang boleh diperkatakan terhadap sikap parti politik yang bertanding semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) baru-baru ini.

Ketika kempen PRU-15, ahli-ahli politik berkempen bermati-matian dengan pelbagai janji dibuat, malah sehingga ada yang sanggup bersumpah dengan nama tuhan demi memastikan pengundi percaya kepada setiap kata-kata mereka.

Semasa berkempen, ia sememangnya menjadi lumrah bagi mana-mana parti dan calon untuk berjanji langit dan bintang kepada pengundi asalkan cita-cita untuk berkuasa menjadi kenyataan.

Namun, wajarkan sesebuah parti politik menukar prinsip dan menggadaikan ideologi kepartian mereka hanya demi kepentingan peribadi, bukankah parti politik perlu mempunyai jati diri dan asas perjuangan yang jelas untuk ahli-ahli mereka?

Jika ideologi dan asas perjuangan yang diletak sebagai batu asas untuk sesebuah parti itu pun dilanggar hanya kerana kepentingan seseorang individu, bagaimana pula ahli dan penyokong parti mahu menghormati pemimpin dalam parti tersebut?

Sebagai sesebuah organisasi, tidak sewajarnya pemimpin utama melanggar perjuangan parti kerana ia akan memberikan satu isyarat tidak baik dan tidak mustahil bakal hilang kepercayaan sepenuhnya selepas ini.

Yang pastinya, buat kali pertama dalam sejarah rakyat dapat melihat mereka ditipu hidup-hidup hanya kerana cita-cita seorang individu dan dibantu pula oleh rakan sekongkolnya.

Penipuan yang dilakukan oleh parti politik tersebut bukan sahaja menyebabkan rakyat sudah hilang rasa hormat kepada pemimpin mereka, malah ia juga menyebabkan rakyat terhakis kepercayaan terhadap sistem demokrasi negara.

Adakah corak sistem ini yang mahu dijadikan contoh kepada rakyat apabila pemimpin sendiri tidak menunjukkan contoh baik kepada rakyat?

Siapa lagi rakyat mahu percayai selepas ini, apabila lain yang dicakap semasa berkempen tetapi lain pula yang dibuat selepas itu.

Kerajaan baharu ini bukan sahaja perlu mengambil langkah pemulihan ekonomi dengan kadar segera, tetapi juga perlu mengambil langkah untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap sistem yang dirosakkan oleh orang politik.

Parti politik yang menipu kepada pengundinya tidak mustahil akan dihukum balik selepas ini kerana sudah tidak lagi boleh dipercayai, jangan lah anggap pengundi cepat melupakan apa yang berlaku.

Apa yang jadi hari ini akan menjadi kayu pengukur kepada pengundi dalam tempoh lima tahun lagi, kena tipu sekali jangan ingat pengundi boleh ditipu sekali lagi.

Menang sekarang tidak bermakna akan menang lagi pada masa depan, rakyat sekarang sudah celik dan bijak untuk menilai mana satu pemimpin jujur dan tidak jujur dalam kata-kata.

Menggunakan retori kononnya untuk melihat negara stabil adalah tidak masuk akal apabila parti politik yang dipilih untuk bergabung tersebut juga sebelum ini menjadi punca ketakstabilan.

Kepada rakyat, nilai dan adili parti politik yang akan memperjuangkan hak anda dengan sebaiknya selepas ini untuk elak ditipu.

Bukan parti politik yang hanya pandai beretorik pandai cakap tetapi apabila sudah menang, lain pula dibuatnya.

Sumber: Agenda Daily

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top