PAS melancarkan aplikasi MyOnePAS yang dilengkapi pelbagai kemudahan dan fungsi dalam usaha mendigitalisasikan pentadbiran dan pengurusan parti itu.
Setiausaha Agung, Takiyuddin Hassan, berkata pelancaran aplikasi itu menjadikan PAS parti politik pertama dalam negara mempunyai super app sendiri.
Ciri-ciri dalam aplikasi itu akan diperluaskan dengan SkimPas, Pasti, PasNews, PasPay, PasPoll, PasMonitor, PasApps, PasDeal, PasMoney, Pas Experience, Pas999 dan PasData.
Aplikasi ini terbuka kepada semua dan bukannya untuk ahli sahaja. Mereka juga berpeluang mendapat kad fizikal MyOnePAS Mastercard, yang berfungsi seperti kad debit dengan menyediakan fungsi e-wallet sepenuhnya.
Menurutnya, pihaknya bekerjasama dengan sebuah syarikat IT untuk menjayakan Super App ini, yang dikuasakan oleh PasPay Merchant.
Usaha digitalisasi ini dikuatkan lagi dengan penjenamaan bersama Mastercard.
Beliau turut menyatakan pada sidang media selepas pelancaran, pengeluaran kad prabayar MyOnePAS Mastercard akan memudahkan sebarang transaksi.
“Maknanya, semua transaksi dapat dibuat melalui aplikasi ini,” katanya
Ia juga menawarkan fungsi e-wallet, ‘cashless’ dan QR ‘payment’, yang membolehkan pengguna ‘top up’ untuk kegunaan e-wallet dan dan juga untuk kad.
Selain fungsi e-wallet Super App ini memfokuskan ciri-ciri gaya hidup Islamik dan turut menyediakan waktu solat serta arah kiblat.
Takiyuddin berkata, buat masa ini pihaknya masih dalam proses menstabilkan aplikasi itu dan pengguna android sudah boleh memuat turunnya.
Katanya, bagi pengguna iPhone ia akan berfungsi bermula 24 Nov ini.