Umum

Pasukan Malaysia & Oman tidak dibenarkan jalani latihan rasmi di Stadium Bukit Jalil

Komisioner Perlawanan (MC) Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) tidak membenarkan pasukan Malaysia dan Oman menjalani latihan rasmi di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) menjelang aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh memaklumkan perkara tersebut menerusi sebuah hantaran di laman facebook miliknya dengan menyatakan keputusan itu dibuat mengambil kira keadaan cuaca sering hujan di waktu petang dan malam sejak kebelakangan ini.

“Padang SNBJ telah mendapat kelulusan MC untuk perlawanan.

“Penyokong Harimau Malaya digesa turun ke SNBJ untuk berikan sokongan paling padu,” katanya.

Menurut laporan Bernama, pasukan Harimau Malaya dan Oman tidak mendapat kebenaran untuk menguji padang sebelum perlawanan kerana dimaklumkan bahawa ia tidak berada dalam keadaan yang terbaik.

Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon menuntut janji kontraktor yang menguruskan padang SNBJ menyediakan padang terbaik bagi perlawanan keempat Kumpulan D kempen kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 itu.

Turut dilaporkan media, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), pasukan kebangsaan telah menjalani latihan di Wisma FAM di Kelana Jaya, manakala Oman pula di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ).

Malaysia akan bertemu Kyrgyzstan di Bishkek pada 6 Jun dan menamatkan perlawanan peringkat kumpulan menentang Taiwan di Bukit Jalil pada 11 Jun.

PALING POPULAR

To Top