Umum

Syarikat pembekal stokin kalimah Allah, 3 pengarahnya didakwa subahat di Mahkamah

Gambar Sinar Harian

3 pengarah Xin Jian Chang Sdn Bhd, syarikat pembekal kepada KK Super Mart, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, masing-masing atas pertuduhan bersubahat.

Pertuduhan tersebut berkaitan kes melukakan perasaan agama orang Islam, dengan mempamerkan stoking bercetak kalimah ALLAH dua minggu lalu.

Xin Jian Chang dan ketiga-tiga pengarah yang merupakan anak beranak iaitu suami, Soh Chin Huat, 61; isterinya, Goh Li Huay, 62; dan anak mereka, Soh Hui San, 36; membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibaca dalam Bahasa Melayu dan Mandarin, di hadapan Hakim, Muhamad Anas Mahadzir.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan kesalahan itu di rak pameran jualan dan dilihat oleh seorang lelaki berusia 32 tahun.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 298 kanun sama yang membawa hukuman penjara hingga setahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kesalahan didakwa dilakukan di KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Bandar Sunway, pada jam 6.30 pagi, 13 Mac lalu.

Semasa prosiding, peguam, Lau Yi Leong yang mewakili semua tertuduh merayu agar setiap tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM5,000.

Menurutnya, Chin Huat dan Li Huay mempunyai empat anak dan dua cucu.

“Li Huay disenaraikan sebagai pengarah syarikat tetapi dia tidak terlibat dalam pengurusan dan operasi, kerana dia hanyalah seorang suri rumah dan menjaga cucu di Batu Pahat, Johor.

“Mereka telah memberi kerjasama di sepanjang siasatan dijalankan malah tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud mencadangkan setiap tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM10,000.

Hakim Muhammad Anas menetapkan tarikh 29 April untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, tular di media sosial sekeping gambar yang memaparkan stoking tertera kalimah ALLAH dijual di sebuah KK Super Mart Bandar Sunway selepas ia dimuat naik oleh pengguna di media sosial.

Ia mengundang kritikan pelbagai pihak termasuk kemurkaan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dengan menitahkan semua lapisan masyarakat supaya menjaga keharmonian negara dan tidak memainkan isu sensitif melibatkan agama, kaum dan raja-raja.

Setakat Isnin, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 178 laporan di seluruh negara berhubung ketidakpuasan hati terhadap isu penjualan stoking berkenaan.

PDRM turut menerima 30 laporan mengenai ketidakpuasan hati terhadap hantaran melalui Facebook mengenai isu sama.

 

PALING POPULAR

To Top