Umum

Pegawai penyiasat kes terowong Guan Eng nafi ‘gelapkan’ fakta berkait ‘big boss’

Seorang pegawai penyiasat dalam kes terowong dasar laut melibatkan Lim Guan Eng menafikan di Mahkamah Sesyen hari ini bahawa beliau “menggelapkan” fakta mengenai perbualan WhatsApp yang merujuk kepada “big boss” bertujuan supaya bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu didakwa atas pertuduhan rasuah.

Pegawai Penyiasat di Jabatan Forensik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wan Mohd Firdaus Wan Yusof turut menafikan beliau diberi arahan secara spesifik untuk tidak memasukkan fakta dalam laporan forensik mengenai “big boss” agar Lim menghadapi pertuduhan yang tidak benar.

Perkataan ”big boss’ itu terkandung dalam laporan forensik melibatkan perbualan WhatsApp antara ahli perniagaan G. Gnanaraja dan Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB) Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

Namun, saksi pendakwaan kelapan itu tidak bersetuju cadangan peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Lim bahawa penggelapan fakta tersebut merupakan sesuatu yang dilakukan untuk mendakwa Lim.

Pada perbicaraan sebelum ini, mahkamah diberitahu perbualan WhatsApp antara Gnanaraja kepada Zarul Ahmad antara lain menyebut pemberian “coklat RM2 juta” untuk “big boss”. 

Ketika menyoal balas saksi, Gobind berkata sebahagian kandungan perbualan yang didakwa “digelapkan” oleh Wan Mohd Firdaus adalah satu ayat “had a good birthday cutting cake with Big Boss” antara Gnanaraja dan Zarul Ahmad pada 9.41 pagi, 23 Julai 2017.

Gobind: Kamu tahu 23 Julai itu tarikh lahir siapa? Ia bukan tarikh lahir anak guam saya.

Wan Mohd Firdaus: Saya tidak tahu.

Gobind: Saya cadangkan 23 Julai itu adalah tarikh lahir Najib Razak.

Wan Mohd Firdaus: Saya tidak tahu. 

Saksi itu juga tidak bersetuju dengan cadangan Gobind bahawa beliau diarahkan untuk tidak membawa laporan asal (yang diberikan ke Mahkamah Shah Alam) dengan tujuan menggelapkan fakta mengenai “Big Boss” pada perbicaraan kes Lim.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim, 60, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta, dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik bagi melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702.

Lim didakwa melakukan perbuatan itu antara Jan 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.

Lim didakwa melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 18 September ini.

Sumber: Malaysianow

PALING POPULAR

To Top