Umum

PN buat laporan polis, dakwa Guan Eng ‘racun minda’ pengundi Cina

PN hari ini membuat laporan polis terhadap Pengerusi DAP Lim Guan Eng ekoran dakwaan dia menuduh gabungan itu akan merobohkan tokong Buddha di Pulau Pinang, jika menang dalam PRN kali ini.

Antara yang hadir di ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi hari ini adalah Timbalan Ketua Pemuda PN Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Dia mendakwa Lim mengambil kesempatan atas sentimen kaum dan “meracuni minda” pengundi Cina menjelang PRN.

“Apa yang dikatakan Lim dalam bahasa Mandarin agak berunsur menghasut.

“Lim meracuni fikiran pengundi Cina dan menakut-nakutkan mereka dengan apa yang dikatakan sebagai ‘Gelombang Hijau’, istilah yang kita telah tolak dengan jelas,” katanya ketika sidang media di luar IPD Dang Wangi.

Katanya, tindakan tegas perlu diambil terhadap mana-mana pihak, sama ada ahli politik mahupun orang awam, yang membangkitkan sentimen agama secara ekstrem.

“Orang Islam dilarang memusnahkan mana-mana rumah ibadat walaupun ketika perang…jadi jika ada pemimpin politik yang mahu memusnahkan rumah ibadat, kami tak akan ragu-ragu untuk ambil tindakan terhadap mereka,” katanya lagi.

Pada Jumaat lalu, Lim membuat ucapan dalam acara sempena Jelajah Raja Naga Putih Tian Fu Gong di Jelutong, Pulau Pinang.

Laporan MalaysiaNow – yang menterjemahkan laporan China Press – memetiknya sebagai berkata “Gelombang Hijau” akan menyebabkan tokong dirobohkan, namun penyembahan terhadap “tuhan dan Buddha” akan terus dilindungi jika kerajaan semasa Pulau Pinang dikekalkan selepas PRN.

Lim kemudian menafikan laporan itu dan berkata ucapannya merujuk kepada kes sebuah kuil Hindu berusia lebih 70 tahun di Kedah yang dirobohkan pada Julai 2020.

China Press turut mengeluarkan penjelasan dan transkrip yang mencerminkan penafian Lim.

Namun Wan Ahmad Fayhsal bagaimanapun berkata PN telah membuat semakan sendiri dan berpandangan kenyataan Lim tetap berunsur provokasi.

“Jika Lim rasa kenyataannya disalah tafsir MalaysiaNow atau China Press, dia boleh ambil tindakan undang-undang terhadap mereka,” katanya.

Sumber: MalaysiaKini

PALING POPULAR

To Top