Umum

Peguam diraja dari UK mohon wakili Najib dalam rayuan kes SRC

Seorang Peguam Diraja (QC) dari United Kingdom (UK), Jonathan Laidlaw memohon kebenaran untuk mewakili bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam rayuan kes penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd.

Notis usul pemula melibatkan peguam dari UK itu difailkan firma guaman Tetuan Shafee & Co di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang merupakan tarikh tamat untuk memfailkannya.

Menurut satu salinan yang diperoleh media hari ini, Laidlaw memohon untuk diterima dan didaftarkan untuk mewakili Najib sebagai peguam utama di Mahkamah Tinggi di Semenanjung dalam rayuan kes SRC di Mahkamah Persekutuan dan lain-lain perkara berkaitan.

Satu daripada sebab untuk permohonan Laidlaw ialah rayuan kes SRC Najib di Mahkamah Persekutuan akan melibatkan isu yang serius, kompleks dan/atau penting berkaitan beberapa cabang undang-undang jenayah dan sivil, amalan dan bukti, hak perlembagaan perayu, pengendalian prosiding oleh pendakwaan, penghukuman kes jenayah oleh mahkamah yang mendengar perbicaran dan pentadbiran Sistem Keadilan Jenayah.

Satu lagi faktor yang dinyatakan ialah Najib mahukan khidmat profesionalnya sebagai peguam utama dalam rayuan SRC dan firma guaman serta peguam yang mewakili tertuduh Tetuan Shafee & Co dan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah telah memberi arahan kepada Laidlaw.

Juga dinyatakan antara faktor khidmat Laidlaw diperlukan kerana beliau memiliki kelayakan, pengalaman dan kepakaran khusus yang tidak dimiliki dalam kalangan peguam di Malaysia bagi tujuan rayuan kes SRC Najib di Mahkamah Persekutuan.

Pada 25 Jan lepas, firma guaman Tetuan Shafee & Co telah menyerahkan surat kepada Sekretariat Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat mengenai hasrat Najib melantik QC untuk membantu beliau berhubung isu kompleks dan persoalan undang-undang dalam rayuan kes SRC di Mahkamah Persekutuan.

Pada 8 Dis 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dijatuhkan ke atas Najib kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC.

Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, yang bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, menolak rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020.

Najib kemudian memfailkan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan.

— BERNAMA

PALING POPULAR

To Top