Seorang pekerja kilang yang didakwa atas atas pertuduhan memiliki bahan letupan serta memiliki pistol tiruan tanpa kebenaran, telah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Butterworth.
Tertuduh Bonny Anak Tigong, 32, membuat pengakuan tersebut selepas dua pertuduhan dibacakan di hadapan majistret Siti Zulaikha Noordin @ Ghani.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki bahan letupan improvised explosive device ( IED) tanpa kebenaran yang sah dan didakwa di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
Sekiranya sabit kesalahan boleh dipenjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua- duanya sekali.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa memiliki sepucuk pistol tiruan kayu tanpa kebenaran yang sah dan dituduh mengikut seksyen 36 Akta Senjata 1960.
Sekiranya sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi satu tahun dan denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau kedua- duanya sekali.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah flat di Taman Pandan, Mak Mandin, Butterworth pada 8 Oktober lepas.
Kedua- dua pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, Asma’ Amira Shahidani, manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan ( YBGK).
Sementara itu, tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan memiliki sebilah kerambit beserta sarung berukuran 19 sentimeter tanpa tujuan sah.
Pengakuan tersebut dibuat selepas pertuduhan dibacakan dihadapan hakim Noor Aini Yusof.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (Akta 357).
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Bagi ketiga-tiga kes berkenaan mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin dengan jumlah keseluruhan RM15,000.
Mahkamah menetapkan 16 November depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.
Terdahulu, tular di media seorang lelaki ditahan polis selepas meletupkan bom buatan sendiri berhampiran mesin basuh jirannya di flat terbabit kerana dilaporkan suspek berang jirannya sering batuk setiap kali dia melalui koridor rumah.
Dalam siasatan awal, pihak polis menemui satu lagi bom buatan sendiri dan turut merampas sepucuk pistol dan peluru buatan sendiri serta kerambit.
Suspek dilaporkan mempelajari cara dan teknik membuat bom menerusi laman web menggunakan bahan yang diperolehi atas talian.
Sumber Awani