Umum

Pelabur asing jual saham tempatan 11 minggu berturut-turut

Pelabur asing kekal sebagai penjual bersih di Bursa Malaysia untuk minggu ke-11 berturut-turut, apabila mencatatkan aliran keluar bersih asing berjumlah RM359.9 juta bagi minggu berakhir 30 Jun 2023, demikian menurut MIDF Research.

“Pelabur asing menjadi penjual selama 20 daripada 26 minggu tahun ini, dengan jumlah aliran keluar asing bersih berjumlah RM4.19 bilion,” kata firma penyelidikan itu dalam Laporan Aliran Dana mingguan yang dikeluarkan hari ini.

Tiga sektor teratas yang mencatat aliran masuk asing bersih ialah pembinaan (RM71.9 juta), hartanah (RM16.4 juta) serta pengangkutan dan logistik (RM6.2 juta).

Sementara itu, tiga sektor teratas yang mencatatkan aliran keluar bersih asing ialah perkhidmatan kewangan (-RM136.5 juta), produk dan perkhidmatan perindustrian (-RM86.0 juta) dan teknologi (-RM72.9 juta).

Di peringkat Asia, pelabur asing minggu lalu beralih menjadi penjual bersih saham-saham serantau, menamatkan pembelian bersih selama lapan minggu berturut-turut.

“Berdasarkan data agregat lapan pasaran saham yang kami jejaki, jualan bersih pelabur asing berjumlah AS$642.9 juta. Hanya India, Thailand, Filipina dan Indonesia yang merekodkan aloran masuk bersih pelabur asing,” katanya.

Sementara itu, MIDF Research berkata belian bersih di Bursa Malaysia oleh pelabur institusi tempatan berjumlah RM278.3 juta pada minggu lalu.

Firma penyelidikan itu berkata, pelabur institusi tempatan menjadi pembeli bersih ekuiti domestik selama 20 daripada 26 minggu, dengan jumlah aliran masuk bersih RM3.73 bilion.

Menurutnya, peruncit tempatan turut menjadi pembeli bersih selepas mencatatkan belian bersih ekuiti domestik bernilai RM81.6 juta minggu lalu.

“Setakat tahun ini, peruncit tempatan menjadi pembeli bersih selama 14 daripada 26 minggu. Jumlah belian bersih setakat tahun ini berjumlah RM463.2 juta,” kata MIDF Research.

Dari segi penyertaan, terdapat penurunan dalam purata jumlah dagangan harian (ADTV) oleh peruncit (-2.0 peratus) dan institusi tempatan (-7.3 peratus), namun meningkat dalam kalangan pelabur asing (+3.7 peratus).

Sumber: Berita Harian

PALING POPULAR

To Top