Umum

CEO Finas: Umumlah, tunggu apa lagi – Nam Ron

“Nak tunggu apa lagi?” demikian ulas Nam Ron berhubung kontroversi isu lantikan ketua pegawai eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang semakin panas.

Pengarah dan pelakon itu mendesak lantikan segera jawatan berkenaan yang kosong sejak bekas CEO, Md Nasir Ibrahim dipecat.

“Kenapa CEO Finas belum dilantik? CEO lama dah lama ditamatkan tugas. Dengar kata dah lama ada nama tapi nama tinggal nama.

“Kalau nak pengerusi galas tugas CEO atau ada orang lain yang mahu dilantik, umumkanlah cepat,” katanya.

Kata Nam Ron atau nama asalnya Shahili Abdan, menteri seharusnya melakukan kerja dengan cepat, barulah “jentera boleh bergerak laju.”

“Saya secara peribadi tak pernah betul-betul ambil tahu pasal benda ini. Menteri kena lebih laju buat keputusan baru jentera kerja boleh bergerak laju,” ujarnya.

Terdahulu, Md Nasir memfailkan saman terhadap Finas dan beberapa pegawai tertingginya bagi mencabar pemecatan yang didakwa dilakukan secara salah. 

Md Nasir yang juga bapa pelakon Anzalna dan Afifah Nasir itu menerima surat pemendekan kontraknya sebagai CEO yang ditandatangani oleh Pengerusi Finas, Kamil Ahmad Mohd Othman bertarikh 31 Mei lalu. 

Penamatan kontraknya sebagai CEO berkuat kuasa 1 Jun lalu.

Perkhidmatan itu dihentikan lima bulan lebih awal daripada kontrak yang sepatutnya tamat pada 31 Oktober depan. 

Dia dilantik menggantikan Ahmad Idham sebagai CEO Finas pada 31 Oktober 2021 untuk tempoh dua tahun.

Susulan itu, Md Nasir dalam satu sidang media khas menyifatkan dia dizalimi kerana kontraknya tamat secara mengejut. 

Bekas CEO itu selaku plaintif menamakan Finas, Menteri Komunikasi dan Digital, Kamil Ahmad, Mastura Ahmad Mustafa, Noor Azam Shairi dan Idwan Ariff Abdul Rahman sebagai defendan pertama hingga keenam.

Nam Ron, 53, secara sinikal turut mempertikaikan ‘pembaharuan’ dalam industri disebabkan pelantikan pengerusi dan CEO Finas yang bersilih ganti selama ini.

Katanya, penggiat industri memang ternanti-nantikan perubahan positif itu.

“Oh ya, saja nak tanya, Pengerusi dan CEO bersilih ganti, ada perubahan yang berlaku ke? Industri kita bertambah baik ke? Kalau ya baguslah. Itu yang kita mahu,” katanya.

Sumber: MalaysiaKini

PALING POPULAR

To Top