Umum

Pelantikan Dr Mahathar Abd Wahab Sebagai Ketua Pengarah Kesihatan Baharu Malaysia

Gambar Facebook

Dr Mahathar Abd Wahab telah diumumkan sebagai Ketua Pengarah Kesihatan baharu Malaysia, dengan pelantikan berkuat kuasa mulai 30 Mei. Pengumuman rasmi dibuat oleh Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar, selepas mendapat perkenan daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Dr Mahathar, 56, sebelum ini merupakan Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Beliau membawa bersama pengalaman luas dalam bidang perubatan kecemasan serta kepimpinan klinikal yang strategik, menjadikan beliau calon yang sesuai untuk menerajui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada peringkat tertinggi.

Dari segi akademik, Dr Mahathar ialah graduan University of St Andrews di Scotland dalam bidang Sains Perubatan, sebelum melanjutkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan di University of Manchester. Beliau turut memiliki Ijazah Sarjana dalam Perubatan Kecemasan daripada Universiti Sains Malaysia.

Beliau memulakan kerjayanya dalam sektor awam sebagai Pegawai Perubatan di KKM pada 1 Oktober 1996, dan sejak itu memainkan pelbagai peranan penting dalam pembangunan sistem perkhidmatan kesihatan negara.

Pelantikan ini menyaksikan Dr Mahathar menggantikan Dr Radzi Abu Hassan, yang menamatkan perkhidmatan beliau awal bulan ini.

Menurut Pengerusi Malaysia Health and Humanity Organisation (MHHO), Dr. Alan Raman,  landskap kesihatan di Malaysia kini memasuki fasa baharu, dengan tumpuan kepada pemulihan pasca pandemik, pengukuhan sistem penjagaan kesihatan awam serta pemerkasaan strategi digital dalam sektor perubatan.

“Pelantikan ini dijangka membawa pendekatan yang progresif dan berasaskan pengalaman lapangan, dalam usaha memperkukuh dasar kesihatan negara dan meningkatkan tahap kesejahteraan rakyat Malaysia,” katanya ketika dihubungi.

Beliau turut mengambil kesempatan mewakili seluruh barisan kepimpinan dan keahlian untuk merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Dr Mahathar atas pelantikan sebagai Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia.

Pihak MHHO turut menzahirkan komitmen untuk menjalinkan kerjasama strategik bersama Pejabat Ketua Pengarah Kesihatan dan berpandangan optimis bahawa pelantikan ini akan membuka ruang kepada pelbagai bentuk kerjasama yang membina dan memberi impak positif kepada landskap kesihatan awam negara pada masa hadapan.

 

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top