Umum

Pemandu treler mengaku tidak bersalah sebabkan kematian empat beranak

Seorang pemandu treler mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh pada Khamis atas empat tuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian empat beranak, minggu lalu.

Tertuduh, Suhaimi Mohd Nor, 34, membuat pengakuan itu selepas tuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Noor Hafiza Ishak.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa telah memandu sebuah treler dalam keadaan berbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian empat penumpang sebuah kereta.

Penumpang kereta itu ialah Rahim Ramli, 60, isterinya Siti Petimah Omar, 59, dan dua anak perempuannya, Nor Nadirah, 28, dan Nor Hamizah, 27.

Kesalahan didakwa dilakukan di Kilometer 277.1, Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan kira-kira jam 2.55 petang, 13 Julai lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 Pindaan 2020.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun, tidak lebih 10 tahun atau denda antara RM20,000 hingga RM50,000 dan hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh lima tahun dari tarikh sabitan.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM40,000 untuk kesemua pertuduhan, namun peguam memohon jumlah itu dikurangkan kerana tertuduh perlu menanggung isteri serta lima orang anak.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 untuk semua pertuduhan dengan seorang penjamin dari kalangan ahli keluarga dan semua lesen memandunya ditarik sementara menunggu kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 4 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk laporan kimia dan Puspakom.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N.M. Moganaraj manakala tertuduh diwakili Peguam Amir Khusairi Mohd Tanusi.

PALING POPULAR

To Top