Umum

Pembahagian kerusi PN sudah selesai 95 peratus – Takiyuddin

Proses pembahagian kerusi antara parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) di enam negeri untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) sudah 95 peratus selesai, kata Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata PN bakal menggunakan formula sepertimana pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk menghadapi PRN ini termasuk menggunakan logo bulan di Kelantan dan Terengganu manakala logo PN di Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Negeri Sembilan.

“Dalam konteks PN, boleh dikatakan 95 peratus sudah diselesaikan pembahagian kerusi antara parti-parti komponen dan terpulanglah kepada parti tersebut untuk menentukan calon.

“Sudah tentunya garis panduan bagi penentuan calon adalah yang boleh memenangkan dan akan diletakkan di kerusi yang telah diperuntukkan masing-masing,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Aidilfitri di Kota Bharu, Kelantan, hari ini.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata pada 24 Mei ini akan ada satu lagi mesyuarat pembahagian kerusi di dua negeri di Pantai Barat manakala di negeri-negeri lain sudah hampir selesai.

– Bernama

PALING POPULAR

To Top