Umum

Jual tiket Coldplay RM43,000 boleh kena tindakan – KPDN

Penjualan semula tiket konsert Coldplay dengan harga tidak munasabah boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, tindakan boleh diambil bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599).

Bagaimanapun menurutnya, setakat ini KPDN belum menerima sebarang aduan rasmi berhubung tindakan ‘ulat tiket’ itu

“Harga RM43,000 itu tidak munasabah. Saya rasa rakyat ini bijak.

“Jadi jangan beli daripada ulat…beli daripada ejen yang dah disahkan.

“Jika ada aduan rasmi, kita boleh nasihatkan pengguna dan kita juga ada Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599) boleh gunakan (untuk ambil tindakan kepada penjual),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia 2023 (FIM2023) di sini pada Khamis.

Tular di media sosial mengenai kewujudan akaun-akaun di pelbagai platform yang menjual tiket konsert Coldplay namun ia dikatakan dikendalikan oleh ‘scammers’.

Selain itu, wujud tindakan menjual semula tiket konsert kumpulan itu dengan harga mencecah RM43,200 hingga mengundang kecaman orang ramai.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah diarah untuk mengambil tindakan berkaitan iklan jualan semula tiket konsert Coldplay di media sosial. – Sinar Harian

PALING POPULAR

To Top