Pemuda Umno menegaskan tiada keperluan untuk mendesak pembentukan kerajaan perpaduan di Johor melibatkan Pakatan Harapan (PH).
Menurut Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh, ia kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) di Johor sudah stabil dan berjalan dengan baik.
Bercakap dengan pemberita selepas melancarkan misi bantuan banjir Pemuda Umno ke Kelantan di Menara Dato Onn, beliau berkata “Yang penting rakyat nak tengok kerajaan hari ini ini dapat tadbir dengan baik atau tidak, dan rakyat dapat manfaat itu jauh lebih penting.”
Dr Akmal mengulas kenyataan Amanah Johor yang menuntut suatu isyarat dihantar agar kerajaan perpaduan terbentuk di Johor, pada konvensyen parti itu baru-baru ini.
Dewan Undangan Negeri Johor didomimasi BN dengan jumlah 40 kerusi, manakala DAP (PH) menduduki 10 kerusi, dan PKR serta Amanah masing-masing satu kerusi.
Mengulas tentang bencana banjir di Pantai Timur, Akmal berkata Pemuda Umno sedia bekerjasama dengan Pemuda PAS bagi menjayakan misi bantuan.
“Ia soal kemanusian. Bila soal kemanusiaan ia tidak mengira parti. Kita tak bercakap nak bantu orang parti sahaja, kita bantu semua. Kita mengalukan kerjasama kalau Pemuda PAS, Amanah atau mana-mana parti nak kerjasama. Kita sedia,” katanya.
Sebanyak RM40,000 diperuntukkan untuk pusingan pertama bantuan ke Kelantan, merangkumi pelbagai jenis termasuk makanan, katanya.