Umum

Penerbangan pertama jemaah haji tahun ini dijadualkan pada 9 Mei 2024

Pengarah Urusan Kumpulan Lembaga Tabung Haji (TH), Syed Hamadah Syed Othman menyatakan penerbangan pertama jemaah haji dari Malaysia tahun ini dijadualkan pada 9 Mei 2024 dan penerbangan terakhir jemaah haji pula dijadualkan pada 9 Jun ini.

“Insya-Allah hari wukuf adalah pada 15 Jun 2024,” katanya pada sidang media pengumuman agihan keuntungan TH di sini, hari ini, yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar.

Syed Hamadah juga Ketua Pegawai Eksekutif TH berkata, kuota rasmi jemaah haji bagi Malaysia kekal pada 31,600 orang seperti diumumkan kerajaan Arab Saudi sebelum ini.

“Pihak TH telah berusaha untuk mendapatkan kuota tambahan dan ia masih terlalu awal untuk mendapatkan jawapan,” katanya.

Memgulas lanjut Syed Hamadah berkata, setakat ini, keseluruhan 31,600 bakal jemaah haji telah menerima tawaran untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini.

“Kebanyakan (yang menerima tawaran) adalah mereka yang gilirannya memang jatuh pada tahun 1445H (tahun ini) dan juga ada yang tertangguh dari tahun-tahun sebelum ini,” katanya.

Daripada jumlah keseluruhan, anggaran 6 peratus daripada 31,600 bakal jemaah haji itu ialah mereka yang membuat rayuan untuk menunaikan ibadah itu.

Mengenai perancangan penelitian semula kadar minimum deposit pendaftaran haji iaitu RM1,300 ketika ini, Syed Hamadah berkata, hal itu masih dalam kajian TH dan belum ada keputusan muktamad berkenaan perkara tersebut.

“Insya-ALLAH, mungkin dalam masa terdekat kita akan membuat pengumuman mengenai perkara ini,” katanya.

Berhubung perkembangan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH, beliau berkata pihaknya menyerahkan kepada kerajaan untuk membuat keputusan berhubung laporan pengurusan serta pengoperasian TH itu, sama ada didedahkan kepada umum atau sebaliknya.

PALING POPULAR

To Top