Umum

Robert Tan didakwa perdaya MOF dorong anugerah kontrak bernilai RM3.9 bilion kepada Spanco

Gambar Facebook

Pemilik syarikat yang membekal dan menguruskan kenderaan kerajaan, Tan Sri Tan Hua Choon (Robert Tan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada hari Rabu, atas satu pertuduhan memperdayakan jawatankuasa pembuka peti tender sehingga mendorong Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) menganugerahkan kontrak bernilai RM3.9 bilion kepada syarikatnya, 5 tahun lalu.

Robert Tan, 83, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Suzana Hussin.

“Faham (pertuduhan), tidak bersalah, saya sudah tolong negara banyak lama,” kata Robert Tan.

Mengikut pertuduhan, Robert didakwa menipu MOF, dengan memperdayakan Jawatankuasa Pembuka Peti Tender bagi tender bertajuk ‘Request For Proposal for Supply, Repair, Maintenance and Management of Govemment of Malaysia Vehicle Fleet’ Unit Kerjasama Awam Swasta, MOF bahawa terdapat pemilikan saham sekurang-kurangnya 30 peratus oleh Bumiputera di syarikat Spanco.

Sedangkan kementerian tersebut tidak akan berbuat sedemikian sekiranya tidak diperdayakan.

Kesalahan didakwa dilakukan di Bilik Tender, Unit Kerjasama Awam Swasta MOF Putrajaya, antara 27 dan 28 Februari 2019.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, dan sebat, dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM2 juta dengan seorang penjamin.

Termasuk syarat tambahan iaitu Robert dikehendaki menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes ini selesai, melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia SPRM Kuala Lumpur sekali setiap bulan dan tidak dibenarkan berhubung dengan saksi-saksi pendakwaan.

“Ini merupakan kes berprofil tinggi pada tahun ini, maka isu kepentingan awam perlu diberi penekanan.

“Pendakwaan berpendapat, syarat tambahan diperlukan bagi memastikan tertuduh hadir di mahkamah pada setiap tarikh yang ditetapkan,” katanya.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili Robert, Datuk Wan Azmir Wan Majid, merayu agar kadar itu dikurangkan kerana anak guamnya mempunyai masalah tekanan darah, sakit lutut dan belakang.

Menurutnya, ini menyebabkan dia memerlukan bantuan perubatan malah anak guamnya terpaksa bergantung kepada tongkat untuk berjalan.

Beliau mengesahkan tidak membantah cadangan jaminan RM2 juta walaupun ia dilihat sebagai jumlah yang tinggi.

“Saya memohon, untuk mempermudahkan anak guam melapor diri setiap tiga bulan kerana tiada risiko untuk dia melarikan diri,” katanya.

Sementara itu, peguam pemerhati mewakili Spanco, Razlan Hadri Zulkifli berkata, tertuduh merupakan pengarah eksekutif syarikat itu dan masih aktif dalam perniagaan.

“Ia dikhuatiri, secara tidak sengaja beliau berhubung dengan saksi ketika bekerja maka saya mohon pihak pendakwaan menjelaskan makna kacau ganggu itu secara terperinci.

“Sekiranya tertuduh tidak berhubung langsung dengan mana-mana pegawainya, ia mungkin menjadi agak sukar,” katanya.

Mahadi kemudian berkata, pertembungan antara saksi yang masih bekerja di syarikat itu dengan tertuduh tidak dapat dielakkan.

“Kami tidak bermaksud dia tidak boleh bertembung langsung atau saksi perlu meletak jawatan di syarikat itu,” katanya.

Selepas mendengar semua permohonan, Suzana membenarkan jumlah jaminan dengan seorang penjamin seperti dipersetujui pendakwaan dan pembelaan.

“Tertuduh dikehendaki memenuhi syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah, tidak boleh mengganggu saksi secara terus atau melalui pihak ketiga dan melaporkan diri di pejabat SPRM setiap dua bulan,” katanya yang turut menetapkan sebutan semula kes pada 4 Jun depan.

PALING POPULAR

To Top