Umum

Pengumuman Kabinet tangguh

Pengumuman senarai Kabinet yang dikata diadakan hari ini ditangguhkan ekoran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipercayai memerlukan lebih masa sebelum memuktamadkan anggota Jemaah Menteri.

Hal itu dipercayai setelah Anwar berdepan cabaran termasuk mempertimbang nama-nama dikemukakan oleh parti-parti yang menyokongnya sebagai Perdana Menteri dalam kerajaan perpaduan.

Difahamkan, pengumuman dan istiadat mengangkat sumpah menteri dijadual minggu ini sebelum Yang di-Pertuan Agong berlepas ke luar negara pada hujung minggu, namun setakat ini belum dimaklumkan berhubung perkembangan terbaharu.

Jika pembentukan Kabinet tidak dilakukan dalam masa terdekat atau minggu ini, perkara itu bermakna Anwar mentadbir kerajaan secara sendirian tanpa Kabinet dalam tempoh dua minggu selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 24 November lalu.

Desas-desus pengumuman Kabinet semakin hangat diperkatakan dalam kalangan pengamal media sejak petang semalam setelah kemungkinan senarai Jemaah Menteri diumum seawal hari ini namun sehingga kini tiada perkembangan pengumuman Kabinet oleh pihak Pejabat Perdana Menteri

Sebaliknya ada menjangkakan esok iaitu hari Jumaat, manakala angkat sumpah Jemaah Menteri dijadual pada Sabtu.

Bagaimanapun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan turun ke kawasan Parlimen Tambun, Perak esok pagi bagi menghadiri kenduri rakyat dan menunaikan solat Jumaat di situ. – UTUSAN

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top