Umum

Pengurus besar GLC rugi lebih RM100 ribu terpedaya “phone scam”

Pengurus besar sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) rugi sekitar RM100 ribu selepas diperdayakan oleh sindiket penipuan menerusi panggilan telefon (phone scam) pada hari Jumaat lepas.

Ketua Polis Pahang Yahaya Othman berkata, mangsa itu menerima panggilan daripada suspek yang mendakwa sebagai pegawai polis dari Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC).

Suspek memberitahu mangsa, lelaki berusia 45 tahun itu bahawa data peribadi mangsa telah bocor selain bertanyakan mengenai penggunaan kad kredit.

Mangsa seterusnya memberikan maklumat 2 akaun bank miliknya dan maklumat kad kredit untuk pengesahan suspek.

Berikutan itu, mangsa turut mengesahkan kod pengesahan transaksi (TAC) yang diterimanya.

Menurut laporan media, Yahaya berkata, mangsa mula menyedari terpedaya selepas mendapati wang simpanan dalam 2 akaun bank miliknya berjumlah RM106,253 sudah tiada dan telah membuat laporan polis di IPD Bentong pada hari Sabtu.

Sementara itu, Yahaya menasihati orang ramai supaya tidak memberikan butiran peribadi seperti nombor akaun untuk tujuan siasatan secara sewenang-wenangnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

PALING POPULAR

To Top