Umum

Peniaga kecil risau terjejas dengan caj QR DuitNow

Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), syarikat pengendali platform QR DuitNow telah mengesahkan pengguna aplikasi itu akan dikenakan caj bermula 1 November ini.

PayNet menjelaskan lagi bahawa caj (MDR) “Merchant Discount Rate” iaitu caj yang dikenakan ke atas transaksi bukan sesuatu perkara baru atau caj tambahan, sebaliknya ia adalah caj sedia ada yang diberi pengecualian pada 2019 sebagai tempoh pengenalan untuk menggalakkan penggunaan QR DuitNow.

Penjelasan itu dibuat ekoran penularan berita pengakhiran tempoh pengecualian (MDR Waiver) dan sambutan hangat perkara tersebut di media sosial.

Topik hangat ini mendapat perhatian persatuan dan badan-badan perniagaan termasuk Persatuan Perusahaan Kecil dan Serdehana Malaysia (Samenta) yang berkata pihaknya telah berusaha keras untuk menggalakkan usahawan kecil dan sederhana (SME) beralih ke arah pendigitalan bagaimanapun mengenakan caj seperti itu boleh membantutkan usaha tersebut.

Pengerusi Samenta, Datuk Willian Ng dilaporkan media menggesa pihak PayNet untuk mempertimbangkan pengenaan kadar lebih rendah, meramalkan peniaga akan mengurangkan penggunaan atau lebih teruk lagi hanya menerima pembayaran tunai selepas ini.

Datuk Willian Ng, Presiden Samenta

Tambahnya lagi, sekiranya peniaga memilih ke arah pembayaran tunai , ia akan membalikkan semula manfaat dan usaha yang telah kita laksanakan untuk mendorong industri menjadi komuniti tanpa tunai.

“Kita mesti sedar bahawa PayNet pada asasnya adalah monopoli dan peniaga tidak mempunyai pilihan selain menggunakan DuitNow selepas melaburkan sejumlah besar masa dan sumber untuk menggalakkan pelanggan membayar melalui satu QR,” katanya.

Kuala Lumpur Malay Chamber of Commerce (KLMCC) turut menyuarakan kerisauan impak perkara itu terhadap penjaja dan peniaga-peniaga kecil.

Presiden KLMCC, Ahmad Hussein Tajuddin berkata pihak sekretariatnya sudahpun menerima maklum balas daripada golongan peniaga kecil yang meluahkan pendapat bahawa caj MDR itu mampu membebankan perniagaan mereka memandangkan QR merupakan kaedah pembayaran yang agak popular sekarang.

Ahmad Hussein Tajuddin, Presiden KLMCC

“Kami telah memaklumkan kepada ahli-ahli bahawa kami akan cuba mendapatkan penjelasan dari pihak PayNet, dan juga akan cuba memohon sedikit kelonggaran untuk peniaga-peniaga kecil dari segi caj MDR itu sekiranya ia dapat dilakukan” katanya lagi.

KLMCC sentiasa menyokong segala usaha untuk membangunkan dan mendaya-majukan usahawan dan peniaga termasuk dengan meningkatkan produktiviti perniagaan melalui pendigitalan.

“Sebagai sebuah Dewan, kami sentiasa mengambil perhatian ke atas semua isu yang melibatkan masyarakat perdagangan dan perindustrian termasuk peniaga kecil yang ramai sudah menjadi ahli kami.” tambahnya lagi.

PALING POPULAR

To Top