Umum

Rogol anak kekasih, lelaki dipenjara 10 tahun, 10 sebatan oleh mahkamah Singapura

Seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan pada Khamis oleh mahkamah Singapura selepas didapati bersalah merogol remaja perempuan berusia 13 tahun yang juga anak kekasihnya, sekalipun mengetahui mangsa pernah dirogol oleh bapa tirinya tiga tahun lalu.

Ekoran pelakuan jenayah itu, mangsa dilaporkan mengalami gangguan emosi dan pernah terlintas di fikirannya untuk mencederakan dirinya selepas dianiaya oleh dua lelaki.

Tertuduh yang berusia 44 tahun yang namanya tidak dapat didedahkan kerana mahu melindungi mangsa, mengakui bersalah atas satu dakwaan rogol ke atasnya.

Sementara, hukuman berhubung empat dakwaan lain ke atas tertuduh sedang dalam pertimbangan mahkamah.

Mahkamah turut diberitahu bapa kandung mangsa terputus hubungan dengannya sekitar 2016 atau 2017.

Di antara tahun 2017 and 2020, mangsa dilaporkan berhadapan dengan penderaan seksual dan rogol oleh bapa tirinya.

Lelaki berkenaan bagaimanapun sudah dihukum penjara 18 tahun pada Jun lalu.

Pada awal tahun 2020, remaja berkenaan bersama ibunya berpindah ke sebuah pangsapuri baharu, di mana dia bertemu dengan tertuduh yang juga jiran mereka.

Tidak lama selepas itu, tertuduh mula menjalin hubungan dengan ibu mangsa sebelum berpindah dan menetap bersama dua beranak itu.

Pada Jun 2020, tertuduh mula melakukan serangan seksual ke atas mangsa di dalam bilik tidur utama pangsapuri berkenaan ketika ibu mangsa sedang tidur di sebelah.

Itu merupakan pelakuan seksual pertama dibuat tertuduh dan diikuti dengan aktiviti susulan yang dipersetujui mangsa, namun, dalam “perasaan jijik”, kata pendakwa raya.

Mangsa dikatakan telah memaklumkan kepada tertuduh yang dia pernah didera secara seksual oleh bapa tirinya.

Pada Julai 2020 pula, ketika tertuduh dan mangsa hanya tinggal berdua di rumah, lelaki itu cuba melakukan hubungan seks dengan remaja itu.

Dia merogol mangsa tanpa sebarang perlindungan – faktor yang memburukkan menurut pendakwaan – sebelum kembali menonton filem di bilik tamu.

Aktiviti seksual hanya berhenti pada bulan Oktober 2021 apabila ibu remaja itu melihat tertuduh terbaring di atas anaknya dalam keadaan intim.

Laporan polis kemudiannya dibuat dan lelaki itu ditangkap pada bulan yang sama.

Pasukan pendakwa raya menggesa hukuman penjara selama 10 tahun dikenakan ke atas tertuduh selain enam sebatan rotan, dengan menyatakan bahawa lelaki itu telah menyalahgunakan kedudukannya sebagai seorang yang memiliki ciri sebagai bapa kepada mangsa.

Tertuduh juga memiliki rekod jenayah pada tahun 1996 atas kesalahan seperti cubaan menceroboh rumah dan mencuri. – CNA

PALING POPULAR

To Top