Umum

Penjawat awam baharu tiada pencen, perlu carum KWSP

Kabinet bersetuju untuk menetapkan syarat bahawa penjawat awam baharu berstatus tetap selepas ini adalah tidak berpencen.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, status pencen penjawat awam sedia ada tidak akan terjejas, namun penjawat awam yang baharu dilantik perlu membuat caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Katanya, satu pengumuman mengenai tempoh pelaksanaannya akan dibuat oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz tidak lama lagi.

“Apa yang sudah dibincangkan dalam Kabinet tadi bahawa terdapat kekeliruan daripada kenyataan mengenai jawatan atas pengambilan baharu adalah perjawatan kontrak, ia tak bermaksud begitu.

“Tetapi, ia kontrak untuk satu tempoh singkat sebelum Kabinet meluluskan dasar baharu pengambilan secara tetap tapi tak berpencen, mereka akan mencarum KWSP dan kerajaan bakal beri sumbangan sebagaimana kebiasaan yang dilakukan kepada kakitangan swasta,” kata beliau ketika sidang media sempena Lawatan Kerja Timbalan Perdana Menteri ke Ibu Pejabat Angkatan Pertahanan Awam (APM) di sini pada Rabu.

“Sesiapa yang layak juga diberikan sumbangan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). Sebab itu langkah jangka panjangnya, penjawat awam baharu akan dilantik begitu, namun yang sedia ada diteruskan secara tetap dan berpencen,” ujarnya.

PALING POPULAR

To Top