Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah ‘memulangkan paku buah keras’ kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang sebelum ini melabelkan PAS sebagai parti ‘pak lebai’.
Walaupun tidak menyebut nama Ahmad Zahid secara langsung timbalan menteri besar Kelantan itu berkata, sehari dua lepas terdapat presiden sebuah parti menyebut PAS sebagai parti pak lebai.
“Kalau dulu orang anggap PAS sebagai parti kampung, parti pak lebai. Sehari dua ini ada presiden sebuah parti sebut PAS ini parti pak lebai lagi.
“Alhamdulillah bagi kita gelaran parti pak lebai bukan gelaran yang hina, gelaran penyamun politik lebih hina daripada pak lebai,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis himpunan penyatuan ummah di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini.
Hadir sama Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.
Terdahulu Ahmad Zahid dilaporkan berkata BN tidak akan mengadakan sebarang rundingan dengan parti ‘lebai’, untuk apa jua gabungan selepas PRU Ke-15 (PRU15).
Tanpa menamakan mana-mana parti, beliau yang juga Presiden Umno menyifatkan parti berkenaan sebuah parti yang tiada pendirian tetap.
“Kita jangan pedulikan pak lebai bersama kita (BN) atau tidak, pak lebai petang cakap lain, malam cakap lain,” katanya yang dipercayai merujuk kepada PAS.
Dalam perkembangan berkaitan, program yang membawa tema ‘Kelantan Maju, Rakyat Sejahtera’ itu diadakan sebagai meraikan pentadbiran kerajaan negeri Kelantan yang kini berusia 32 tahun sejak 1990.
Tinjauan Malaysiakini mendapati sambutan terhadap program itu tetap meriah dengan kehadiran lebih 1,000 hadirin di stadium itu walaupun hujan turun dengan lebat.
Sementara itu, Mohd Amar berkata dia berharap bahawa hujan yang turun malam ini merupakan hujan rahmat.
“Semoga hujan ini adalah hujan rahmat untuk membuang sampah-sampah politik terutama daripada umno dan PH,” katanya.
Sumber: MalaysiaKini