Umum

Perhatian kini beralih pada kes lain melibatkan Najib, ahli politik lain

Dengan Najib Razak mula menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas disabit bersalah dalam kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta, perhatian kini beralih ke kes mahkamah utama yang lain.

Antaranya perbicaraan terhadap isterinya, Rosmah Mansor dan sekutu rapatnya iaitu Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi. Begitu juga dengan kes bekas menteri belia dan sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan bekas menteri kewangan Lim Guan Eng.

Najib, Rosmah dan Zahid mula dihadapkan ke mahkamah sekitar 2018 hingga 2019, manakala Syed Saddiq dan Lim sekitar 2020 dan 2021.

Bagi Najib, masih ada empat perbicaraan jenayah yang perlu diharunginya.

Kesemua kes tersebut masih di peringkat pendakwaan di mahkamah dan mahkamah masih belum memutuskan sama ada dia perlu membela diri atau tidak.

1MDB

Kes pertama adalah perbicaraan rasuah melibatkan RM2.28 bilion dana 1MDB yang dijadual bersambung esok di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pada November 2018, dia didakwa dengan empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan haram.

Ketika prosiding di depan hakim Collin Lawrence Sequerah pada 23 Jun lalu, saksi pendakwaan ke-20 iaitu bekas menteri kewangan II Ahmad Husni Hanadzlah dalam keterangannya berkata Najib memiliki kuasa membuat keputusan dalam 1MDB, bukannya dia.

Husni juga merupakan salah seorang saksi pendakwaan utama dalam perbicaraan kes SRC International. Pada Ogos 2019, dia berkata Najib selaku menteri kewangan memberitahunya agar tidak campur tangan dalam 1MDB.

Bermula sebagai subsidiari 1MDB, SRC kemudian menjadi milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD). MKD juga pemilik penuh 1MDB.

Najib pernah menjadi penasihat emeritus SRC dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

Pinda laporan audit 1MDB

Kes kedua Najib adalah dakwaan salah guna kuasa sebagai perdana menteri untuk mengarahkan laporan akhir audit 1MDB dipinda sebelum ia dibentang ke Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Ketika prosiding di depan hakim Mohamed Zaini Mazlan pada 12 Ogos, pegawai SPRM Hanif Lami dalam keterangannya berkata Najib mahu meminda laporan itu pada 2016 untuk melindunginya daripada kesan undang-undang.

Bekas CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy pada mulanya turut didakwa dalam kes itu namun kemudian menjadi saksi pendakwaan utama.

Perbicaraan kes dijadual bersambung pada Jumaat ini.

Satu lagi kes SRC International

Di depan hakim sama, Najib juga berdepan satu lagi kes jenayah iaitu pendakwaan pengubahan wang haram melibatkan RM27 juta dana SRC.

Namun, kes ini telah ditangguhkan beberapa kali sejak 2019 bagi memberi laluan kepada kes lain terhadap Najib.

Perbicaraan dijadual bersambung pada 28 September ini.

IPIC

Bagi kes keempat terhadapnya pula, Najib berdepan enam pertuduhan pecah amanah jenayah melibatkan RM6.6 bilion dana berkaitan International Petroleum Investment Company (IPIC).

Pada 3 Mac lalu, hakim Muhammad Jami Hussin menolak permohonannya dan seorang lagi tertuduh, Mohd Irwan Serigar Abdullah iaitu bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, untuk dibebaskan tanpa dilepaskan (DNAA).

Kes ini akan dibicarakan pada tahun depan, iaitu pada 1 hingga 4 dan 8 hingga 11 April dan keseluruhan bulan Mei.

Rosmah Mansor

Bagi Rosmah pula, dia berdepan dua perbicaraan.

Perbicaraan pertama adalah kes rasuah berkaitan projek pembekalan tenaga hibrid solar di 369 sekolah di pedalaman Sarawak berjumlah RM1.25 bilion. Mahkamah dijangka memberikan keputusannya pada 1 September ini.

Dia didakwa meminta rasuah berjumlah RM187.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya Rizal Mansor.

Dua lagi pertuduhan adalah berkenaan menerima RM6.5 juta daripada Saidi.

Rosmah diarahkan membela dirinya pada 18 Februari tahun lalu.

Dia juga kini berdepan perbicaraan melibatkan pertuduhan pengubahan wang haram dan pengelakan cukai berjumlah RM7 juta.

Dia berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Pada 22 November ini, Mahkamah Rayuan akan mendengar permohonannya agar Zaini menarik diri daripada mendengar kes itu.

Ahmad Zahid Hamidi

Presiden Umno ini kini sedang mengharungi dua perbicaraan di mahkamah.

Di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, dia kini sedang membela diri bagi kes rasuah melibatkan jutaan ringgit dana daripada Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.

Didakwa pada 2018, Ahmad Zahid diarah membela diri pada 24 Januari lalu berhubung 47 pertuduhan terhadapnya dalam kes ini – 12 pertuduhan pecah amanah jenayah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Pada 24 Ogos lalu, Zahid dalam keterangannya berkata sumbangan RM13.25 juta daripada ahli perniagaan Junaith Asharab Md Shariff adalah untuk kegiatan kebajikan yayasan itu dan bukan untuk manfaat peribadi.

Perbicaraan akan bersambung pada 29 Ogos ini.

Dalam perbicaraan kedua, di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Zahid berdepan 40 pertuduhan berkaitan Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Dia berdepan 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta (RM44 juta) daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) ketika menjadi menteri dalam negeri bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan sistem VLN, serta mengekalkan persetujuan kontrak untuk membekal sistem bersepadu VLN.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, dia didakwa mendapatkan SG$1,150,000 (RM3.7 juta), RM3 juta, €15,000 (RM68,700) dan AS$15,000 (RM66,000) untuk dirnya daripada syarikat sama, berkaitan dengan tugasan rasminya.

Pada 11 Ogos lalu, pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 18 saksi. Hakim Mohd Yazid Mustafa menetapkan 1 hingga 6 September ini untuk penghujahan lisan.

Lim Guan Eng

Sementara itu, Lim berdepan sejumlah pertuduhan di dua mahkamah berbeza.

Di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, dia kini dibicarakan atas empat pertuduhan berkaitan projek terowong dasar laut Pulau Pinang berjumlah RM6.3 bilion.

Dua pertuduhan berkaitan dakwaan menggunakan kedudukannya sebagai ketua menteri Pulau Pinang untuk mendapatkan 10 peratus daripada keuntungan projek itu serta menerima RM3.3 juta suapan daripada ahli perniagaan Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

Empat pertuduhan lagi berkenaan dakwaan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan negeri dilupuskan kepada dua syarikat yang dikatakan mempunyai kaitan dengan projek terowong berkenaan.

Pada 10 Ogos lalu, seorang jurunilai swasta dalam keterangannya berkata nilai sebenar dua hartanah itu adalah RM300 juta, berbeza dengan kenyataan dua pegawai Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) negeri sebelumnya bahawa tanah terbabit bernilai hanya RM80 juta.

Kes ini masih di peringkat pendakwaan dan akan bersambung 29 September ini.

Di Mahkamah Sesyen Butterworth pula, Lim berdepan satu pertuduhan rasuah berkaitan dakwaan membantu sebuah syarikat mendapatkan projek.

Ahli perniagaan Phang Li Koon didakwa bersubahat dengannya dalam kes itu.

Isteri Lim, Betty Chew Gek Cheng juga didakwa dengan tiga pertuduhan pengubahan wang haram.

Namun kes-kes ini masih di peringkat pendakwaan dan masih belum memasuki perbicaraan penuh.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

Bekas ketua Pemuda Bersatu ini berdepan kes penyelewengan melibatkan RM1.12 juta milik sayap parti itu, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Dia dituduh selaku ketua Pemuda Bersatu yang diberi kepercayaan mengawal dana, bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali – ketika itu bendahari – untuk melakukan pecah amanah jenayah berjumlah RM1 juta.

Bagi pertuduhan kedua, Syed Saddiq didakwa menyalah guna RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise untuk diri sendiri dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang itu.

Dia juga berdepan dua pertuduhan terlibat dalam pengubahan wang haram, iaitu dua transaksi yang masing-masing berjumlah RM50,000 yang didakwa diperoleh daripada kegiatan haram, dari akaun banknya ke akaun ASB miliknya.

Semalam, Bernama melaporkan pesuruhjaya kehakiman Azhar Abdul Hamid yang mendengar kes itu telah menolak permohonannya untuk mendapatkan salinan keterangan Rafiq kepada SPRM.

Kes ini masih di peringkat pendakwaan dan akan bersambung 27 September ini.

Sumber: MalaysiaKini

PALING POPULAR

To Top