Umum

Perjanjian permuafakatan membuktikan Anwar tidak yakin raih sokongan majoriti, kata Muhyiddin

Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan perjanjian dimeterai empat gabungan politik dengan Pakatan Harapan (PH) untuk mengukuhkan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam, membuktikan kedudukan Perdana Menteri ketika ini agak goyah.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berpendapat, langkah berkenaan menunjukkan Anwar seolah-olah tidak berkeyakinan untuk meraih sokongan majoriti Ahli Parlimen pada sidang khas yang bakal menyaksikan pembentangan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, di Dewan Rakyat, Isnin depan.

“Perjanjian itu turut memaksa Ahli Parlimen untuk mengosongkan kerusi sekiranya tidak menyokong Perdana Menteri dalam apa-apa usul, dan ini tidak pernah dilihat dalam mana-mana persefahaman atau undang-undang sebelum ini.

“Saya tidak pernah melihat perkara sebegini dalam undang-undang sebelum ini, kecuali berkaitan akta antilompat parti,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Kesyukuran PN Parlimen Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh, di sini, hari ini.

“Saya tidak pernah lihat dalam mana-mana undang-undang perkara seperti itu dilaksanakan kecuali yang berkaitan dengan akta lompat parti yang mana kalau tidak sokong mesti gugurkan kedudukan dia sebagai Ahli Parlimen.

“Jadi saya lihat macam Perdana Menteri tidak berapa yakin usul percaya itu boleh diteruskan (kerana) sepatutnya ada asas kepercayaan kepimpinan parti untuk sokong, tetapi tidak adalah menyokong (sehingga) seberat itu.

Muhyiddin berkata, sepatutnya pengundian dalam usul undi percaya terhadap Perdana Menteri adalah berasaskan kepercayaan dan bukan paksaan.

“Saya fikir Ahli Parlimen sepatutnya tidak terasa dipaksa, ini tidak boleh dipaksa walaupun mereka dalam gabungan itu ada sefahaman,” katanya, lapor Astro Awani.

Antara perkara digariskan dalam perjanjian itu ialah Ahli Parlimen dalam gabungan bawah Kerajaan Perpaduan, yang tidak menyokong Perdana Menteri dalam apa-apa usul berkait usul percaya, perbekalan dan/atau apa-apa usul berbentuk prosedur yang mempunyai kesan terhadap keabsahan Kerajaan Persekutuan mengikut Perlembagaan Persekutuan, perlu mengosongkan kerusi yang dimenanginya.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, beliau sudah mendengar pandangan peguam, termasuk yang mendakwa perjanjian itu adalah tidak berperlembagaan.

“Saya diberitahu sebahagian pendapat bahawa perjanjian itu mungkin dari sudut undang-undang dikatakan tidak berperlembagaan, tidak berperaturan dan melanggar undang-undang. Ini kerana Ahli Parlimen ada hak kebebasan mereka dan itu ada dalam undang-undang. Maknanya kalau Ahli Parlimen hendak sokong, dia sokonglah dan kalau tidak, jawatan itu tidak tergugur. Kalau parti hendak mengambil tindakan disiplin, itu soal lain tetapi tidak perlu sehingga harus berhenti atau mengosongkan kerusi.

“Ahli Parlimen PN akan berada di Parlimen dan mengadakan mesyuarat pada petang esok, untuk memutuskan pendirian. Saya fikir sebahagian daripada kita atau kesemuanya mungkin tidak akan menyokong kedudukan Perdana Menteri. Saya tidak boleh sebut lagi tetapi perkara ini akan dibincangkan dalam mesyuarat esok,” katanya.

Sumber: Astro Awani

PALING POPULAR

To Top