Umum

Perlumbaan drag: PJS siasat jika ada unsur pelanggaran akta

Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) akan menjalankan siasatan terperinci terhadap penganjuran perlumbaan ‘Malaysia Drag Bike National ET Record Championship Road Tour 2023’ selepas didapati tidak mendapat kelulusan badan pengelola sukan permotoran negara.

PJS dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan semakan awal mendapati kejohanan itu tidak mendapat kebenaran Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) dan siasatan terperinci akan dijalankan di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576) sama ada terdapat sebarang pelanggaran akta.

“Semua pihak diseru untuk mendapatkan status penganjuran acara sukan yang disertai dengan pihak PJS bagi memastikan semua aspek keselamatan dititikberatkan. PJS sentiasa bekerjasama dengan MAM bagi memastikan keselamatan aktiviti sukan bermotor sentiasa terpelihara.

“Sekiranya memerlukan maklumat lanjut orang ramai boleh merujuk kepada PJS menerusi talian 03-89944800 atau e-mel [email protected],” menurut kenyataan itu.

Kejohanan berlangsung di Pekan, Pahang itu bertukar tragedi selepas insiden yang menyebabkan pelumba drag, Muhammad Hattem Rashdi, 22, meninggal dunia apabila motosikal ditungganginya terbabas pada hari pertama perlumbaan di Litar Speedway pada 12.30 tengah malam, Ahad lepas.

Mangsa yang mewakili ESR Motor menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan dan menghembuskan nafas terakhir pada petang Isnin selepas bertarung nyawa lebih 12 jam.

— BERNAMA

PALING POPULAR

To Top