Umum

IPU tidak sihat di tiga bahagian Sarawak – Hazland

Bacaan indeks pencemar udara (IPU) di tiga bahagian di Sarawak telah mencecah tahap tidak sihat dalam tempoh 1 dan 4 Sept lepas berikutan aktiviti pembakaran terbuka yang berlaku di negara jiran.

Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Dr Hazland Abang Hipni berkata bacaan IPU tidak sihat itu direkodkan di Sri Aman, Kuching dan Serian.

“Bacaan IPU direkodkan di Sri Aman dalam lingkungan 100-155 manakala, bacaan IPU di Kuching dan Serian mula mencatatkan bacaan tidak sihat mulai 4 Sept,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

IPU Jabatan Alam Sekitar (JAS) menetapkan bacaan di bawah 50 sebagai baik, 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-200 (sangat tidak sihat) dan lebih 300 (berbahaya).

Katanya menurut data Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) yang berpusat di Singapura, sejumlah 1,059 titik panas telah dikesan di wilayah negara jiran berdekatan pada empat hari berkenaan.

Beliau berkata Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak telah mengaktifkan prosedur operasi standard (SOP) sebagai kawalan dalaman untuk memastikan tiada pembakaran terbuka berlaku yang menyumbang kepada kejadian jerebu.

“(Ini) termasuk rondaan lapangan secara aktif dan pengesanan titik panas, pelaksanaan program kesedaran larangan pembakaran terbuka, tidak mengeluarkan sebarang permit pembakaran terbuka dan menguatkuasakan larangan pembakaran terbuka kepada semua pemaju projek,” katanya.

— BERNAMA

PALING POPULAR

To Top