Umum

Persatuan Bas Sekolah gesa perluaskan subsidi diesel kepada semua pengusaha bas sekolah

Gambar Hiasan

Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia menggesa kerajaan tidak hanya melibatkan penyasaran diesel bersubsidi kepada pengusaha berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Menurut Presidennya Amali Munif Rahmat, gesaan ini dibuat kerana terdapat pengusaha bas sekolah mendaftarkan perkhidmatan mereka di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

“Seperti pertubuhan anak yatim, mereka berdaftar dengan JPPM, manakala bas sekolah milik koperasi mereka daftar dengan SKM, di Semenanjung ada yang tidak berdaftar dengan SSM. Di Sabah Sarawak pula mereka berdaftar dengan PBT.

“Kalau subsidi yang diterima oleh pengusaha bas sekolah dapat RM1.88 seliter dan pada harga pam 2.30 seliter, pengusaha bas lain yang tak berdaftar dengan SSM dah rugi. Mereka rugi 42 sen setiap liter,” katanya dilaporkan FMT.

Turut dilaporkan Amali berkata pihaknya akan menyerahkan memorandum kepada kerajaan berhubung gesaan tersebut bulan depan.

Selasa lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah mengumumkan bahawa kerajaan akan terus menyediakan subsidi menerusi penyasaran subsidi bahan api diesel kepada peniaga yang menggunakan kenderaan komersial bermotor diesel, melibatkan 10 jenis kenderaan pengangkutan awam dan 23 jenis kenderaan pengangkutan barangan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

10 kenderaan pengangkutan itu melibatkan bas sekolah, bas ekspres, bas henti-henti, bas pengantara, bas mini, kereta sewa, teksi, van atau lori mayat, ambulans dan bomba.

 

 

PALING POPULAR

To Top