Pemimpin DAP Nga Kor Ming telah menghidupkan semula amaran ‘Taliban’nya menjelang pilihan raya umum dalam usaha memastikan pengundi bukan Islam tidak membuang undi mereka untuk Perikatan Nasional (PN), yang termasuk Gerakan yang majoritinya kaum Cina.
Dalam kenyataan (Mandarin) hari ini, dia memberi amaran bahawa jika PN, yang terdiri daripada Bersatu berasaskan Melayu dan PAS (Islamik), berkuasa, Malaysia akan menjadi seperti “Afghanistan”.
Mengetengahkan dasar “pelampau” PAS mengenai perjudian, arak, konsert dan pengasingan lelaki dan wanita, ketua DAP Perak itu mendakwa ini mengancam nilai sekular dan kepelbagaian budaya negara.
Tambahan pula, dia mendakwa bahawa dasar-dasar ini akan “menceroboh” kebebasan orang bukan Islam serta membawa kepada penghijrahan keluar pelabur asing, yang seterusnya akan memberi kesan kepada ekonomi.
Ringkasnya, Nga memberi amaran bahawa jika PAS mentadbir, “Malaysia akan musnah”.
“PN telah mengumumkan sekiranya gabungan itu menang, calon PAS akan menjadi menteri besar bagi Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang.
“Apa yang lebih teruk ialah Presiden PAS Abdul Hadi Awang akan menggantikan Pengerusi (PN) Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.
“Untuk mengelakkan perkara yang tidak dapat dibayangkan ini, kita tidak boleh memberikan satu undi kepada PN demi mempertahankan kepelbagaian budaya, hak asasi manusia dan kebebasan,” tambahnya.
Pada 2019, media melaporkan Nga sebagai berkata, sekiranya PAS dan Umno mengambil alih kerajaan persekutuan, Malaysia akan menjadi seperti Afghanistan di bawah pentadbiran Taliban.
Susulan itu, Pemuda PAS Selangor berkata, pihaknya akan menganjurkan himpunan besar-besaran jika Nga tidak memohon maaf atas kenyataannya yang disifatkan sebagai ‘melampau’.
Nga bagaimanapun berkata, Pemuda PAS mempunyai hak untuk berhimpun.
“Biar polis yang kendalikan (himpunan itu). Kita hormati kedaulatan undang-undang, dan kita juga hormati kebebasan berekspresi.
“Mereka boleh menganjurkan perhimpunan selagi ia mematuhi undang-undang,” katanya.
Sumber: Malaysia Kini