Pakatan Harapan (PH) mengambil pendirian, memberi laluan kepada calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, sebagai tanda kesepakatan Kerajaan Perpaduan di peringkat Negeri dan Nasional.
Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (AMANAH), Dr Mohd Hatta Md Ramli, berkata pihaknya memandang pilihan raya DUN Tioman sebagai satu pertembungan kerajaan baharu Pahang dengan kelompok ekstremisme kaum dan agama.
“AMANAH melihat keperluan mewujudkan perpaduan erat dalam kalangan komponen kerajaan negeri dalam menentang calon Perikatan Nasional (PN).
“AMANAH yang juga sebahagian komponen Pakatan Harapan (PH), mengambil keputusan memberi laluan kepada calon BN di Tioman sebagai tanda kesepakatan Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri dan nasional,” katanya dalam kenyataan.
Dalam saingan PRU15 bagi DUN Tioman yang dijadualkan pada 7 Disember ini.
DUN Tioman menyaksikan saingan lima penjuru membabitkan calon PN, Nor Idayu Hashim; Datuk Seri Mohd Johari Hussain (BN); Osman A Bakar (PEJUANG), Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH) dan Sulaiman Bakar (Bebas).
Pengundian PRU15 DUN Tioman ditangguhkan selepas calon PN bagi kerusi itu, Md Yunus Ramli, 61, meninggal dunia pada hari pengundian 19 November lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan proses pengundian diadakan pada 7 Disember ini, dengan 3 Disember ditetapkan sebagai hari pengundian awal.
DUN Tioman mempunyai 28,465 daftar pemilih terdiri daripada 28,200 pengundi biasa, 262 anggota polis, dan tiga pengundi tidak hadir luar negara.
Mohd Hatta berkata, bagi memenangkan calon yang mewakili Kerajaan Perpaduan Pahang itu, jentera pilihan raya PH akan bergerak bersama di setiap kempen BN dalam pilihan raya itu.
Katanya, menerusi kerjasama itu, keutuhan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat diperkuatkan demi kepentingan rakyat, agama dan negara.
“AMANAH juga menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong bagi pembentukan kerajaan Pahang di bawah pimpinan PH dan BN yang berlaku semalam.
“Selain itu, AMANAH mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga ADUN Jelai yang dilantik sebagai Menteri Besar Pahang,” katanya.
Sumber: Berita Harian