Umum

Pindaan Ordinan Elektrik Sarawak, pengguna boleh jual balik lebihan elektrik kepada grid bekalan

Gambar Sarawakku

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada hari Selasa meluluskan Pindaan Ordinan Elektrik Sarawak, membolehkan pemilik rumah yang mempunyai panel solar dengan kapasiti pengeluaran sehingga 50 kilowatt (KW) di kediaman mereka menjual lebihan elektrik kepada grid bekalan utama.

Pindaan undang-undang itu memberi sumber pendapatan baharu kepada pemilik rumah yang pada masa sama tidak memerlukan lesen untuk pemasangan panel dengan kapasiti tersebut.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata demikian telah diumumkan dalam sebuah hantaran di laman Facebook rasmi, Sarawakku.

Katanya , ia juga akan menjadi sumber tambahan kuasa bersih kepada sumber boleh diperbaharui lain terutamanya tenaga hidro.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam anjuran Persatuan Jurutera Perunding Bumiputera Sarawak di Denpasar, Bali, Indonesia dan beliau kini menghadiri Persidangan ke-41 Persekutuan Pertubuhan Jurutera ASEAN (AFEO) selama tiga hari di sana.

Menurutnya undang-undang baharu itu akan membuka lebih banyak peluang kepada kumpulan jurutera di Sarawak kerana rumah memerlukan reka bentuk baharu selaras dengan dasar baharu itu yang disifatkannya sebagai sesuatu yang bersejarah.

Mengenai pindaan Ordinan Pengagihan Gas negeri yang turut diluluskan DUN pada Selasa, beliau berkata ia merupakan pindaan penting dan bersejarah yang akan memberi kuasa kepada Petros, syarikat minyak dan gas negeri untuk menjadi ‘agregator’ gas tunggal di Sarawak.

Beliau menambah hal itu turut membuka peluang kepada jurutera Sarawak memandangkan pelbagai bentuk perkhidmatan dan kepakaran kejuruteraan diperlukan untuk merealisasikan objektif pelan tersebut.

Abang Johari yang tiba di Bali petang Selasa bersama rombongannya akan menerima Anugerah Felo Kehormat oleh AFEO dan kemudian menyampaikan ucapan ringkas kepada 1,000 perwakilan dari 10 negara ASEAN.

Mengiringi beliau Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan negeri Datuk Zaidel Lariwoo dan para pegawai kanan kerajaan Sarawak.

PALING POPULAR

To Top