Politik

PKR dan DAP berebut kerusi di Sarawak

Datuk Seri Anwar Ibrahim didesak meletakkan jawatan sebagai Ketua Pembangkang oleh ADUN DAP.

Pakatan Harapan (PH) kini, “bagaikan retak menanti belah” apabila mereka berbalas-balas kecaman antara parti itu dan PKR.

Perkara itu terjadi, disebabkan ‘perebutan kerusi’ bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak apabila PKR negeri itu menegaskan, perjanjian rundingan kerusi Pakatan Harapan sebelum ini tidak boleh diguna pakai.

Mereka berkata perjanjian itu dibuat antara pemimpin terdahulunya, Larry Sng dan DAP Sarawak, tanpa persetujuan akar umbi PKR.

Dalam kenyataan tegas malam tadi, PKR Sarawak turut mengecam DAP yang didakwa enggan membincangkan perjanjian kerusi baru sejak beberapa bulan lalu.

“PKR Sarawak sentiasa berusaha untuk bermurah hati dan mengamalkan prinsip ‘setiakawan’ dalam kalangan rakan gabungan kita di Sarawak.

“Namun kami ingin menyatakan untuk rekod bahawa bukan kami yang cuba menimbulkan isu di kerusi tertentu tetapi DAP Sarawak yang enggan berunding secara terbuka dan telus dengan kami.

“Selama beberapa bulan kami cuba bertemu dengan pimpinan tertinggi DAP Sarawak untuk membincangkan perkara itu tetapi berdepan dengan penolakan.

“Kami telah menjelaskan bahawa susulan tindakan bekas Pengerusi PKR Sarawak Larry Sng keluar daripada parti kami pada Feb 2021, sebarang perjanjian peribadi yang dibuat oleh beliau dengan DAP Sarawak adalah terbatal dan tidak sah kerana ini dilakukan sendiri tanpa pengetahuan dan persetujuan daripada pemimpin akar umbi PKR di Sarawak,” kata mereka.

Pada 2 Januari lalu, PH Sarawak telah bersetuju bahawa PKR akan bertanding di 47 kerusi, DAP 26 dan Amanah sembilan. Perjanjian itu ditandatangani oleh Sng, Pengerusi DAP Sarawak Chong Cheng Jien dan Pengerusi Amanah Sarawak Abang Abdul Halil Abang Naili.

Malam tadi, PKR Sarawak berkata ia sebelum ini meminta untuk bertanding di empat kerusi ini tetapi DAP “enggan terlibat dalam sebarang rundingan”.

“Dengan ini kita bertanya kepada DAP Sarawak – di manakah perkongsian dan pembinaan muafakat? Pembinaan muafakat gabungan mesti dilakukan secara terhormat, terbuka dan telus.

“Membina pembangkang yang kuat di Sarawak yang boleh membawa pembaharuan dan perubahan secara berkesan bukan sekadar menguasai kerusi majoriti Cina di bandar.

“Pakatan pembangkang di Sarawak perlu diterajui dengan berkesan oleh sepasukan pemimpin berbilang kaum, dengan sokongan akar umbi yang kuat, untuk mendekati rakyat di kawasan pedalaman Sarawak,” katanya.

Sarawak bakal mengadakan Pilihan Raya Negeri Ke-12 pada 18 Disember ini, setelah pembubaran parlimen dibuat pada 3 November lalu.

PALING POPULAR

To Top