Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dilantik mengetuai salah satu jawatankuasa di bawah Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bekas pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) itu akan membantu dalam mencari ikhtiar dan penyelesaian terhadap isu harga barang dan kos sara hidup.
“Nanti saya tugaskan Syed Abu Hussin Hafiz bantu dalam mesyuarat penyelarasan harga barang makanan di bawah NACCOL.
“Saya mengesahkan supaya dia akan mengepalai kluster yang membantu tambah ikhtiar supaya Jualan Madani ini akan dipertingkatkan.
“Yang penting ialah kita cari ikhtiar. Percayalah ia suatu perkara yang tidak mudah kerana harga pasaran di dunia sudah meningkat dan sudah tentu memberi kesan kepada rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, program Jualan Termurah Madani barangan basah dan kering itu dapat membantu memenuhi permintaan rakyat dan akan diperluaskan ke seluruh negara.
“Kita telah mengambil pelbagai langkah berikutan kos sara hidup yang meningkat, walaupun jumlah STR (Sumbangan Tunai Rahmah) kita tambah, tetapi tidak cukup kalau tidak kawal harga barang.
“Melihat sambutan hari ini, kita kena perbanyakkan dan perluaskan jualan murah terutama barangan keperluan ikan, ayam, beras dan sebagainya,” katanya.