Umum

Rayuan pembebasan Zahid Hamidi dalam kes VLN didengar 18 Mac

Mahkamah Rayuan akan mendengar rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan Zahid Hamidi dalam kes rasuah sistem visa luar negara (VLN) pada 18 Mac ini.

Menurut Hakim Hadhariah Syed Ismail yang mengetuai panel 3 hakim itu, tarikh pendengaran yang ditetapkan November lalu dikekalkan.

Ini selepas pihak pendakwaan berkata, peguam negara belum memutuskan representasi oleh timbalan perdana menteri itu supaya rayuan terbabit ditarik balik.

“Kami akan mematuhi keputusan terdahulu (untuk pendengaran rayuan diteruskan) dan akan memfailkan hujah kami,” kata Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob yang dibantu Zander Lim.

Turut bersidang bersama Hadhariah ialah Hakim Azman Abdullah dan SM Komathy Suppiah.

Zahid tiada di mahkamah kerana kehadirannya tidak diperlukan.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik, Ahmad Zaidi Ibrahim, Hamidi Noh dan Aiman Abdul Rahman mewakili Zahid.

Zahid mengemukakan representasinya pada Januari 2023 menyebabkan Mahkamah Rayuan membenarkan pihak pendakwaan 5 penangguhan untuk membenarkan peguam negara membuat keputusan sama ada akan meneruskan rayuan.

Pada 23 September 2022, Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Yazid Mustafa membebaskan Zahid daripada semua 40 pertuduhan selepas memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Pihak pendakwaan memfailkan rayuan terhadap pembebasan itu pada 26 September.

Pada 29 Disember, pihak pendakwaan memfailkan petisyen rayuannya dengan memetik 15 alasan untuk mencabar keputusan Mahkamah Tinggi.

Pihak pendakwaan mendakwa Yazid salah arah dengan membandingkan fakta kes Zahid dan perbicaraan rasuah Rosmah Mansor. Mereka berkata, senario fakta sama saja tidak menjadikan kes itu contoh mengikat.

Pihak pendakwaan juga berkata, Yazid terkhilaf dalam penilaiannya terhadap kredibiliti tiga saksi utama pendakwaan – bekas pengarah Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) Harry Lee, Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani dan David Tan.

Katanya, hakim gagal mengambil kira keterangan saksi bahawa lejar yang dikemukakan sebagai keterangan di mahkamah adalah “dokumen semasa”.

Pihak pendakwaan seterusnya berhujah Yazid terkhilaf apabila memutuskan sumber wang digunakan UKSB untuk membayar Zahid perlu dijelaskan dan dibuktikan, dengan mengatakan undang-undang tidak mengandungi ketetapan sedemikian.

Zahid didakwa atas 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SGD13.56 juta (RM42 juta) daripada UKSB antara 2014 dan 2018 semasa menjadi menteri dalam negeri dan timbalan perdana menteri di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Dia juga berdepan tujuh pertuduhan lain mendapatkan untuk dirinya SGD1.15 juta, RM3 juta, 15,000 franc Swiss dan ASD15,000 daripada syarikat sama berhubung tugas rasminya.

 

 

PALING POPULAR

To Top