Umum

PN hormati Sultan Perak dalam perkenan calon MB

Perikatan Nasional (PN) Perak menghormati hak prerogatif Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin dalam memperkenan calon Menteri Besar Perak.

Setiausaha PN Perak, Zainol Fadzi Paharudin berkata, biarpun namanya antara yang disenarai sebagai calon Menteri Besar Perak, keputusan memperkenankan lantikan merupakan bidang kuasa Sultan Perak.

Menurutnya, menamakan calon-calon menteri besar merupakan prosedur biasa parti-parti bertanding.

“Parti-parti akan kemukakan calon pada setiap kali selepas Pilihan Raya Umum (PRU) seperti PRU14, parti akan kemukakan calon walaupun tak cukup kerusi.

“Parti boleh mengemukakan calon-calon (Menteri Besar Perak) tetapi akhirnya keputusan tertakluk kepada perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan.

“Kita menghormati keputusan tersebut dan terima kasih kerana pimpinan senaraikan saya sebagai calon,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Manifesto PN Perak di sebuah hotel di sini pada Khamis.

Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Timbalan Pengerusi PN 1, Razman Zakaria dan Timbalan Pengerusi PN 2, Datuk Tee Sean Seng.

Sementara itu, dalam satu sidang akhbar berasingan, Ahmad Faizal mengulangi kembali bahawa PN Perak mempunyai calon-calon berkelayakan untuk dipilih sebagai pemimpin.

Menurutnya, antara nama calon tersebut termasuklah Zainol Fadzi dan Razman yang juga Pesuruhjaya Pas Perak.

Sumber: Sinar Harian

PALING POPULAR

To Top