Umum

Ramai sokong Rina Harun rampas Parlimen Sepang dari AMANAH

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat kerajaan sementara, Datuk Seri Rina Harun dilaporkan mendapat sokongan tinggi, sekali gus dijangka merampas Parlimen Sepang yang ditandinginya dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Sabtu ini (19 November 2022).

Diibaratkan sebagai ‘sirih pulang ke gagang’ pencalonan Ketua Wanita Perikatan Nasional itu di Parlimen Sepang membolehkan beliau kembali untuk berbakti di tempat asalnya.

Berbanding, Ahli Parlimen daripada AMANAH sebelum ini Hanipa Maidin, pengundi yang ditemui rata-rata menyifatkan Rina mempunyai peluang lebih cerah untuk menang di kerusi berkenaan.

Memetik laporan FMT yang membuat tinjauan di sekitar kawasan Parlimen Sepang dengan menemu bual pengundi menunjukkan sentimen terhadap calon Perikatan Nasional itu meningkat.

Ibrahim Mustafa, 60, berpendapat, Rina bertuah kerana mendapat sokongan PAS yang bekerjasama dengan Bersatu di bawah panji-panji Perikatan Nasional.

“Jika dia bergantung kepada Bersatu sahaja, parti itu tidak kuat di sini,” kata pemandu e-hailing itu, sambil menambah PAS secara aktif berkempen untuk Perikatan Nasional menjelang hari pengundian Sabtu ini.

Seorang lagi warga tempatan, Osman Abu Bakar, 68, berkata dia hanya mengenali Rina sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tetapi tidak banyak yang boleh diperkatakan mengenainya selain daripada jawatan yang dipegang.

Bagaimanapun, dia merasakan Rina boleh menang kerana persepsi pengundi Sepang terhadap Ahli Parlimen sebelum ini, Hanipa daripada Pakatan Harapan (PH) berubah kerana ‘tak nampak bayang’ dan sukar ditemui.

Ia sedikit sebanyak menghakis kepercayaan rakyat terhadap PH, kata Osman.

“Maaf saya katakan tetapi jika anda bertanya kepada orang di sini, mereka akan bersetuju bahawa mereka jarang bertemu (Hanipa) di sini,” katanya.

Pada pilihan raya lalu, Hanipa menang dengan majoriti 18,705 undi. Beliau tidak bertanding pada PRU Sabtu ini kerana kesihatan yang mengizinkan dan PH kini diwakili Ketua Wanita AMANAH Aiman Athirah Sabu.

Osman berkata beliau mendapati tiada penerimaan negatif terhadap Rina oleh penduduk di Sepang.

Tegasnya, Rina boleh memenangi hati rakyat Dengkil dengan mudah sekiranya dapat menyelesaikan masalah seperti kesesakan jalan raya, banjir dan kemudahan kesihatan yang lebih baik.

Peniaga kecil Samsuri Abu Samah, 52, berkata ramai yang kecewa dengan PH kerana gagal memenuhi manifestonya.

Seorang lagi warga tempatan Khairul Anwar Samsudin berkata dalam era media sosial, pengundi khususnya golongan belia akan mengetahui sumbangan beliau kepada Titiwangsa.

“Jika dia bagus di Titiwangsa, kemungkinan besar dia akan bagus di sini. Pasti orang akan bertanya apa yang dia telah lakukan di sana,” katanya.

Selain Rina dan Aiman, lima lagi bersaing merebut kerusi Parlimen Sepang iaitu Anuar Basiran (BN), Che Asmah Ibrahim (Gerakan Tanah Air) dan tiga calon Bebas – Daud Leong, Syahrul Amri Mat Sari dan M Muneswaran Muthiah.

Sumber: Agenda Daily

PALING POPULAR

To Top