Umum

Tolak parti rasuah, kerjasama PN-BN tidak akan berlaku sama sekali

Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan kerjasama antara gabungan itu dengan BN tidak akan berlaku sama sekali selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.

Katanya, ia selaras dengan dasar parti yang tidak akan bekerjasama dengan parti yang tidak bersih daripada rasuah.

Beliau yang Presiden PAS berkata, PN akan berusaha mendapatkan majoriti kerusi di Parlimen pada hari pengundian esok (19 November 2022).

“Dasar kita, kita tidak akan bersama dengan parti yang agresif, yang ekstrem seperti Pakatan Harapan dan parti yang tidak bersih daripada rasuah.

“Kita tidak buat rasuah dan kita tidak akan ikut (perbuatan itu),” katanya lapor Bernama.

Media sebelum ini melaporkan, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan yakin dapat membentuk kerajaan pada PRU-15 sama ada secara sendirian atau gabungan dengan pihak lain termasuk BN sekiranya gagal memperoleh majoriti kerusi namun perkara itu dinafikannya sambil menegaskan laporan itu diambil di luar konteks selain tajuk berita itu juga mengelirukan pengundi.

Susulan kenyataan itu Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga menepis dakwaan kerajaan gabungan PN-BN itu dan berkata Takiyuddin tidak pernah diberi mandat untuk memutuskan perkara itu.

Hadi kemudiannya dilaporkan berkata PAS rela menjadi pembangkang jika PN gagal mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan pada PRU-15 ini.

Sementara itu, Abdul Hadi yang juga calon Parlimen Marang mengingatkan saf kepimpinan parti supaya tidak terlibat dengan sebarang provokasi.

Beliau menasihatkan mereka supaya mengambil pendekatan damai dalam menyampaikan mesej selaras dengan dasar ‘menerang dan bukannya menyerang.’

Katanya jika terdapat pemimpin yang dilihat agresif dan bertentangan dengan dasar tersebut, mereka akan disekat daripada menyampaikan sebarang mesej seperti ceramah dan akan dipantau.

“Itulah konsep dan prinsip yang kita bawa. Mana-mana kalangan kita yang mengambil pendekatan ‘menyerang’, kita ‘gam.’ Hentikannya daripada berceramah.

“Tindakan itu ada, kita tidak mahu (perkara sedemikian) kerana PAS adalah parti demokratik dan aman sejak dahulu lagi.

“Kita hentikan dia berceramah termasuk menulis (di media sosial),” katanya.

Sumber: Agenda Daily

PALING POPULAR

To Top