Buletin

PN terus catat momentum kenaikan sokongan

PILIHAN Raya  Negeri (PRN) Johor telah pun melabuhkan tirainya semalam di mana Barisan Nasional (BN) yang diketuai oleh parti UMNO memenangi sebanyak 40 kerusi DUN daripada 56 kerusi DUN Johor yang dipertandingkan. Pakatan Harapan + MUDA pula memenangi 13 kerusi DUN secara keseluruhannya.

Manakala Gabungan Perikatan Nasional (PN) pula memenangi 3 kerusi DUN pada PRN Johor kali ini. Parti Pejuang, Warisan, Putra, Parti Bangsa Malaysia (PBM), Parti Sosialis Malaysia (PSM), dan calon bebas pula mengalami kekalahan teruk hingga hilang deposit.

Sedar ataupun tidak, sebenarnya pada PRN Melaka dan PRN Johor, momentum kenaikan sokongan pengundi sedikit demi sedikit beralih ke Perikatan Nasional. Selain memenangi di kerusi DUN Endau, Maharani dan Bukit Kepong, PN juga dilihat menjadi pesaing sengit di 26 kerusi DUN yang lain iaitu di Gambir, Serom, Bukit Pasir, Bukit Naning, Sungai Balang, Semerah, Sri Medan, Semarang, Parit Raja, Mancap, Parit Raja, Rengit, Benut, Kahang, Kukup, Larkin, Tenggaroh, Panti, Sedili, Parit Raja, Johor Lama, Tiram, Permas, Penawar, Tanjung Surat, Simpang Jeram.

Kesemua 26 kerusi di atas ini, PN berjaya mendapat “Naib Johan”. Walaupun baharu ditubuhkan jika dibandingkan dengan PH, ternyata mereka memberikan saingan yang cukup sengit pada kali ini walaupun dengan peratus keluar undi pada PRN Johor kali ini sebanyak 55 peratus sahaja.

Jika peratus keluar mengundi melebihi 75% hingga 80%, kebarangkalian untuk PN memenangi kerusi-kerusi ini adalah dilihat cerah berbanding PH yang mana PH dilihat tidak popular dalam kalangan pengundi atas pagar secara keseluruhannya.

Benar, ramai yang kata BN menang sebab perpecahan undi atas pagar iaitu PH dan PN. Namun, nama dan “magic” PH tidak akan kembali lagi seperti sebelum 2018. PN yang nampak menyerlah menjadi alternatif bagi mereka yang tidak mahu BN bagi kawasan-kawasan majoriti pengundi Melayu.

Bagi pengundi Melayu secara keseluruhannya pada PRN Johor kali ini, menampakkan bahawa kebanyakan pengundi atas pagar memilih PN sebagai alternatif berbanding PH kerana mereka sudah menyampah dan meluat dengan BN. Itu adalah isyarat yang cukup jelas telah diberikan oleh para pengundi atas pagar kali ini secara keseluruhannya.

Buktinya jelas ramai pengundi atas pagar di 26 kawasan DUN yang disebut tadi mengalihkan undi mereka kepada PN. PH bukan hanya gagal memenangi 26 kawasan DUN ini tetapi lebih malang lagi mendapat tempat ketiga di belakang PN dari sudut bilangan undi yang PH perolehi pada PRN Johor kali ini.

Undi popular pula dapat dilihat iaitu 43.11% atau 599,753 undi menjadi milik BN, manakala PH pula mendapat 26.42% atau 367,525 undi. Diikuti rapat oleh PN yang mendapat 24.04% atau 334,457 undi. MUDA mendapat 3.46% atau 48,072 undi dan Pejuang memperolehi 1.34% 18692. Selebihnya menjadi milik PSM, PBM, Putra, Warisan dan calon bebas.

Apakah PRN Johor ini akan menjadi bayangan apa yang bakal berlaku kepada PRU ke-15? Hanya masa dan keadaan semasa yang akan menentukannya.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top