Buletin

PNB umum dividen ASB 4.25 sen, bonus 0.75 sen

Permodalan Nasional Bhd (PNB) menerusi anak syarikatnya, Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) mengumumkan pembayaran agihan pendapatan 5.00 sen seunit untuk dana utamanya, Amanah Saham Bumiputera (ASB), bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tun Arifin Zakaria berkata, pengumuman berkenaan merangkumi pengagihan pendapatan 4.25 sen seunit dan bonus 0.75 sen seunit.

Ia membabitkan pembayaran pengagihan pendapatan sebanyak RM8.9 bilion kepada 10.4 juta pemegang unit dengan pelaburan berjumlah 181.2 bilion unit, tambahnya.

Jelasnya lagi, usaha berterusan dalam strategi kepelbagaian portfolio telah membuahkan hasil positif untuk menjana pulangan mampan.

“Kami bersyukur usaha berterusan dalam strategi kepelbagaian dan pengukuhan portfolio kami telah membuahkan hasil positif. Prestasi pelaburan ekuiti global yang lebih kukuh telah berjaya mengurangkan kesan pasaran domestik yang mencabar.

“Ini menunjukkan betapa pentingnya strategi kepelbagaian dalam mengurus risiko portfolio untuk menjana pulangan yang mampan.

“Alhamdulilah, pengagihan pendapatan ASB pada tahun ini kekal kompetitif hasil usaha dan dedikasi pasukan pelaburan kami. Kadar pengagihan pendapatan sebanyak lima sen seunit ini adalah 315 mata asas lebih tinggi berbanding Deposit Tetap 12 bulan yang kadar semasanya ialah 1.85 peratus,” katanya pada Majlis Pengumuman Jumlah Agihan Pendapatan secara maya pada Khamis.

Ia sekali gus menjadikan jumlah pengagihan pendapatan terkumpul dan bonus ASB yang telah diagihkan kesemuanya RM168.5 bilion sejak ASB diperkenalkan pada 1990.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, PNB telah menunjukkan daya tahan dalam mengharungi ketidaktentuan tahun 2021, Aset di Bawah Pengurusan (AUM) PNB meningkat 4.9 peratus kepada RM338.4 bilion, manakala unit dalam edaran meningkat sebanyak 7.4 bilion atau 4.3 peratus kepada 181.2 bilion unit.

“Walaupun dalam persekitaran yang mencabar, kami berbesar hati mendapati bilangan rakyat Malaysia yang melabur dengan kami, serta jumlah pelaburan mereka terus meningkat.

Kami amat menghargai kepercayaan berterusan yang diberikan oleh pemegang unit kami dan akan berusaha memenuhi mandat PNB untuk terus menjana pulangan yang mampan.”

Tambah beliau, PNB telah mencapai kemajuan yang ketara dalam tiga bidang tumpuan, iaitu mencipta nilai dalam prestasi portfolio domestiknya, meneruskan usaha kepelbagaian ke dalam pasaran global menerusi kelas aset yang berbeza, dan mempercepatkan peningkatan perkhidmatan melalui pendigitalan.

Urus niaga ASB ditangguhkan buat sementara waktu dari 23 Disember hingga 2 Januari 2022 bagi tujuan pengiraan pengagihan pendapatan.

Untuk rekod pada tahun 2020, PNB mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 4.25 sen seunit dan bonus ehsan 0.75 sen seunit manakala pada 2019, dividen sebanyak 5.00 sen seunit dan bonus 0.50 sen seunit.

PALING POPULAR

To Top