Umum

Polis kesan kumpulan lelaki main meriam karbaid tepi jalan raya

Polis Pulau Pinang sedang menjalankan siasatan dan mengesan sekumpulan lelaki yang bermain meriam karbaid di tepi jalan raya.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ( SPT), Asisten Komisioner Shafee Abd Samad siasatan dibuat selepas insiden berkenaan tular di media sosial yang mengundang pelbagai reaksi orang ramai khususnya warga net.

Shafee berkata, siasatan pihak polis mendapati kumpulan lelaki berkenaan melakukan aktiviti tersebut di Jalan Permatang Rawa di Bukit Mertajam.

“Pihak polis masih lagi menjalankan siasatan bagi mengesan suspek yang terlibat dalam video tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Terdahulu, rakaman memaparkan sekumpulan lelaki sedang bermain meriam karbaid di tepi jalan raya dan menyebabkan berlaku gangguan bising kepada penduduk setempat .

Video berdurasi 2 minit 20 saat itu dimuat naik di halaman Twitter ‘Malaysia Most Viral’.

Sehubungan itu, pihak polis menasihati orang ramai supaya tidak bermain mercun atau meriam karbaid sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri kerana ia suatu kesalahan di bawah seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Sabit kesalahan boleh di hukum penjara 7 tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

PALING POPULAR

To Top