Buletin

Dewan Rakyat serah pindaan Perlembagaan ke Jawatankuasa Pilihan Khas

Dewan Rakyat hari ini bersetuju untuk menyerahkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 kepada Jawatankuasa Pilihan Khas.

Usul kerajaan itu dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Ia dipersetujui secara sebulat suara selepas diputuskan oleh Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon.

Antara syor-syor yang perlu dikemukakan jawatankuasa itu ialah:

i. Meneliti dan memberi pengkhususan ke atas tafsiran kepada larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti dengan merujuk kepada fasal 2(c) dan fasal 3, sekatan-sekatan ke atas hak membentuk persatuan yang diberikan oleh perenggan (c) fasal 1;

ii. Cadangan untuk memansuhkan perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan termasuk mana-mana pindaan lain kepada Perlembagaan Persekutuan yang dianggap perlu; dan

iii. Menyediakan suatu penyata yang mengandungi  cadangan rang undang-undang berkait larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti serta pindaan Perlembagaan berkaitan dalam tempoh satu bulan. Jawatankuasa Pilihan Khas boleh melanjutkan tempoh sekiranya perlu.

“Bagi tujuan urusan tersebut, Jawatankuasa Pilihan Khas boleh menjemput mana-mana pihak seperti Ahli-Ahli Parlimen, pakar-pakar perundangan dan perlembagaan, badan-badan bukan berkepentingan (NGO) dan masyarakat madani serta individu-individu lain untuk hadir dalam persidangan Jawatankuasa Pilihan Khas dari semasa ke semasa,” katanya ketika mengemukakan usul tersebut.

Selain itu, katanya jawatankuasa itu turut berhak menentukan penjadualan persidangan mereka sendiri sama ada diadakan di Parlimen atau di mana-mana tempat mengikut kesesuaian.

PALING POPULAR

To Top