Umum

Polis masih belum menerima laporan dari Abdul Wahab berhubung video tular

Polis Kontinjen Selangor dan Kuala Lumpur, memaklumkan masih belum menerima sebarang laporan polis dari Penolong Pegawai di Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani, berhubung dakwaan rakaman video perbualan yang telah tular.

Menurut laporan di Sinar Harian, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, setakat ini hanya terdapat laporan polis yang dibuat berhubung kes itu merujuk kepada laporan oleh bekas Ketua Pengarah J-KOM, Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.

“Setakat ini hanya satu laporan polis dan siasatan sudah diambil alih oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid, turut mengesahkan pihaknya juga masih belum menerima sebarang laporan dari Abdul Wahab.

“Setakat ini, kita tidak menerima sebarang laporan dan sekiranya ada kita akan rujuk semula kepada Polis Kontinjen Selangor.

“Namun, kita ada menerima laporan berhubung siasatan terhadap ketulenan video berkenaan daripada Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, semalam (Sabtu),” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain memberitahu bahawa satu sidang media akan diadakan pada Isnin berhubung perkembangan siasatan kes berkenaan.

Sebelum ini, dalam satu sidang media, Mohammad Agus dan Abdul Wahab mendakwa bahawa rakaman perbualan video mereka berdua yang tular di media sosial sebenarnya sudah disunting dan ditambah audio secara “Voice Over”.

Bagaimanapun, Abdul Wahab turut mendakwa telah diarahkan oleh seorang individu bernama Mr H untuk merekod video perbualannya bersama bekas Ketua Pengarah J-KOM itu.

 

 

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top