Umum

Video tular, Mohommad Agus dipanggil sekali lagi untuk rakaman keterangan

Bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff akan dipanggil sekali lagi untuk dirakam keterangan pada Isnin, berkaitan rakaman perbualan video yang tular kebelakangan ini.

Perkara tersebut telah disahkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, selain menyatakan termasuk Mohammad Agus, terdapat beberapa individu lain yang akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.

“Kita akan merakam keterangan Mohammad Agus pada esok, manakala Penolong pegawai J-KOM, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani akan dipanggil dalam tempoh terdekat.

“Terdapat individu lain dijangka akan dipanggil bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau turut berkata, polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti individu bergelar ‘Mr H’ yang dikaitkan dengan kes berkenaan.

Sebelum ini, tular media sosial sebuah video berdurasi tiga minit memaparkan perbualan video yang dikaitkan dengan Mohammad Agus dan seorang individu lain yang mengandungi audio perbualan berunsur tidak senonoh.

Ketika sesi sidang media yang diadakan oleh Mohammad Agus pada hari Jumaat, beliau mendakwa video itu disunting dan telah membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan.

PALING POPULAR

To Top