Umum

Premier Sarawak kritik dasar pendidikan yang berubah-ubah

Gambar UKAS

Premier Sarawak Abang Johari Openg mengkritik pertukaran yang kerap berlaku dalam dasar pendidikan negara, selain kurangnya penekanan pada penguasaan bahasa Inggeris.

“Minta maaf jika saya katakan dasar pendidikan kita berubah-ubah,” katanya ketika merasmikan program Affin Bank Market Outlook 2024 di Menara Affin.

“Kadang-kadang menteri ini ambil alih, suatu dasar dipakai. Menteri seterusnya datang, ia berubah.”

Beliau mempertahankan pendirian kerajaan Sarawak menggunakan bahasa Inggeris dalam pendidikan, selain menggesa rakyat menguasainya seiring bahasa Melayu.

“Ada yang menyatakan, ‘Kenapa Sarawak menunjuk-nunjuk menggunakan bahasa Inggeris?

“Tetapi ini penting. Anda perlu akui fakta bahawa anda perlukan bahasa Inggeris. Jika mahu mahir guna peranti digital, anda perlu baca manual yang kebanyakannya dalam bahasa Inggeris.”

November lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan perlunya sistem pendidikan kebangsaan bagi meningkatkan mutu penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar mulai tahun ini.

“Kalau anak itu anak Malaysia, wajib menguasai bahasa Melayu dengan baik,” katanya.

Pada masa sama, katanya, pelajar khususnya di sekolah kebangsaan mesti diberi fokus supaya penguasaan bahasa Inggeris lebih baik daripada sekarang, sehingga mampu penguasaan sekurang-kurangnya dwibahasa.

PALING POPULAR

To Top